Oleh M. Zakry Chan (Melaka)
MELAKA, 9 Apr (Malaysiaaktif) — Pelajar disaran menggunakan personaliti pengucapan awam yang berkemahiran dan berpengetahuan luas dalam bidang komunikasi sebagai contoh bagi memantapkan kebolehan pengucapan awam masing-masing.
Berikut merupakan teknik yang disampaikan oleh Pegawai Penerangan Daerah Melaka Tengah, Haji Mohd Noor Samion, selaku penceramah Bengkel Pengucapan Awam di SMK Bukit Katil, pagi tadi.
Antara teknik lain yang turut dikongsikan adalah melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan mengenai topik yang akan disampaikan dan hadir lebih awal dan berinteraksi dengan para audiens.
Guru Penasihat Kelab 1Malaysia SMK Bukit Katil, Zaiton Ismail, menyambut baik bengkel ini.
“Bengkel ini amat baik kepada pelajar dan diharap akan diteruskan tahun hadapan kerana impak yang diterima amat positif dari kalangan pelajar,” kata Zaiton.
Menurut seorang pelajar, Amaruddin Jalaudin, 17, dia dapat meningkatkan pengetahuan dalam pengucapan awam serta menambah keyakinan diri selepas menghadiri bengkel ini.
Bengkel anjuran Kelab 1Malaysia SMK Bukit Katil dengan kerjasama Pejabat Penerangan Daerah Melaka Tengah ini diadakan bagi melahirkan pelajar-pelajar yang berkeyakinan berkomunikasi di khalayak ramai.
Kira-kira 40 ahli Kelab 1Malaysia menyertai program ini.
-DZ