Oleh Mohd Azrul Abdullah (Bandar Baharu)
BANDAR BAHARU, 3 Apr (Malaysiaaktif) — Hari Usahawan Muda Sekolah Kebangsaan Sungai Salleh berlangsung hari ini di Dewan Aspirasi, SK Sungai Salleh di sini. Ia dianjurkan oleh pihak sekolah dengan kerjasama daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
Bagi memeriahkan lagi acara, para guru dan murid bersama-sama menghias gerai masing-masing sejak awal pagi dan seterusnya dibuka untuk jualan pelbagai makanan, termasuk nasi tomato, bihun sup, makanan ringan, ais kacang dan sebagainya.
Seorang guru, Holijah Abd. Rahman berkata, Hari Usahawan ini bertujuan merapatkan lagi hubungan antara pihak sekolah dengan para waris yang hadir beramai-ramai untuk berbelanja dan menderma.
Beberapa agensi kerajaan dan swasta turut hadir bagi menjayakan program ini. Turut diadakan pertunjukkan kereta Formula One oleh Kolej Komuniti Bandar Baharu.
Seorang pelajar yang menyertai program ini dengan menjual buah-buahan potong, Nor Zulaika Idris, berpendapat ia dapat mendedahkan para pelajar kepada ruang kreativiti dan ilmu keusahawanan.
Sementara itu, seorang pengunjung, Nor Shuhaidah Masri berkata penganjuran aktiviti seperti ini dapat mengeratkan hubungan penduduk setempat dengan warga pendidik SK Sungai Salleh.
Program bermula pada pukul 8.00 pagi dan berakhir pada pukul 12.30 tengah hari.