
Oleh : Hamidah binti Md Drus & Ramasamy A/L Amas
Jempol : 13 Apr (Malaysiaaktif) – Masyarakat India perlu menanam azam baru supaya dapat bersaing dengan masyarakat lain di negara ini. Masyarakat India dilihat masih ketinggalan terutama dalam bidang pendidikan dan ekonomi. Demikian ucapan Dato’ L. Manickam, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Jeram Padang ketika merasmikan sambutan Ambang Tahun Baru Chithrai bersama lebih 150 orang penduduk Kampung Gaddes, Bandar Seri Jempol semalam.
Chithrai merupakan bulan permulaan bagi masyarakat Hindu yang diraikan pada 14 April setiap tahun dan merupakan hari pertama dalam kalendar tamil. Masyarakat India menganggap Chithrai memberi kemakmuran dan keamanan dalam kehidupan.
L. Krishnan, salah seorang penduduk berkata, beliau sangat teruja dengan sambutan tahun baru kali ini. Beliau juga turut menerima ‘Vesti’ iaitu pakaian tradisional masyarakat India bagi kaum lelaki di majlis itu. Bagi kaum wanita pula menerima sehelai kain batik, dan kanak-kanak menerima bekas makanan untuk dibawa ke sekolah.
Turut hadir, Dr. Balakrishnan A/L Kandasamy, Timbalan Pengarah, Bahagian Perkhidmatan Komunikasi Dan Pembangunan Masyarakat (BPKPM) dan Mejar (K) Tuan haji Sabarudin bin Yeop Hamza, Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Sembilan.
Turut diadakan ceramah bertajuk Keberkesanan GST yang disampaikan oleh Karunkaran A/L Muthiah.