
Oleh Mulyani Nong Che / Foto: Rosli Hashim
SIBU, 29 Apr (Malaysiaaktif) – Pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) penting bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, berpengetahuan, berinovasi dan mampu menghadapi saingan di peringkat global selain sentiasa relevan dengan keperluan semasa.
Demikian kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof semasa menyempurnakan Majlis Perasmian Pameran TVET di Dewan SMK Sacred Heart, Sibu petang tadi.
“Menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2016, kerajaan masih memberikan tumpuan yang khusus terhadap pembangunan TVET,” katanya.
“Bagi merealisasikan wawasan menjadikan negara kita sebagai sebuah negara yang maju bilangan pekerja mahir dan separa mahir yang cukup dalam pasaran pekerjaan merupakan satu ciri asas pembentukan negara maju sepenuhnya,” katanya.
Menurutnya, dengan penubuhan Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE) oleh kerajaan negeri akan menjana pelbagai peluang pekerjaan khususnya kepada anak jati negeri ini.
Tambahnya, ibu bapa tidak perlu bimbang atau memandang rendah terhadap TVET ini kerana bidang teknikal dan vokasional amat diperlukan pada masa ini.
Terdahulu, Pengetua SMK Sacred Heart, David Teo Wu berkata bahawa walaupun TVET merupakan salah satu cabang pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia tetapi banyak ibu bapa yang menjadikan TVET pilihan kedua dalam bidang pendidikan.
Jelasnya, menyedari hakikat ini, SMK Sacred Heart mengambil peluang mengadakan pameran TVET untuk memberikan pendedahan kepada masyarakat terutamanya ibu bapa dan pelajar tentang pentingnya bidang teknikal dan vokasional.
“Program TVET sebenarnya menjadi instrumen penting bagi membantu negeri ini melahirkan seramai mungkin golongan pekerja mahir dan separa mahir khususnya dalam bidang teknikal dan vokasional,” katanya.