Oleh Fauziah Hussain, Mohd Shahfuri Saidan Khadri & Elyas Hisyam Mat Zin (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 8 Apr (Malaysiaaktif) – Seramai 149 graduan berjaya menamatkan pengajian dan menerima sijil daripada pelbagai bidang kemahiran di Majlis Konvokesyen anjuran Yayasan MySkills hari ini.
Jumlah ini merupakan yang tertinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya.
S. Pasupathi, Pengarah Yayasan MySkills mengatakan setakat ini seramai 350 orang pelajar telah menerima sijil dan mendapat pendedahan kemahiran.
Mereka terdiri daripada pelajar tercicir sekolah dan diberi peluang kedua untuk membangunkan diri menjadi insan yang berguna kepada diri, keluarga dan masyarakat.
Jurusan kemahiran yang ditawarkan adalah Bakeri, Setiausaha Guaman, Mekatronik, Elektrikal dan Kimpalan di samping aktiviti kurikulum lain.
Datuk Saravanan Murugan, Timbalan Menteri Belia dan Sukan merangkap Pengasas Yayasan Yayasan New Affirmative Action Movement (NAAM) dalam ucapannya memuji usaha Yayasan MySkills dalam mentransformasi golongan belia yang tercicir dalam pelajaran.
Usaha ini harus diteruskan dalam melahirkan golongan belia yang berkemahiran tinggi. Pada masa kini industri pekerjaan memerlukan tahap pekerja yang berkelulusan dan berkemahiran tinggi.
Sokongan kewangan daripada kerajaan, dermawan dan masyarakat telah membolehkan yayasan ini terus maju dalam kerja-kerja mentransformasikan belia berisiko tinggi.
Manakala Yayasan NAAM turut bangga menyumbang geran bagi 50 belia untuk mengikuti program transformasi holistik di MySkills.
Kewujudan MySkills adalah untuk mengiktiraf kemahiran para belia dan secara tidak langsung dapat memenuhi sektor pekerjaan dalam negara di mana sekarang ini kebanyakan dipelopori oleh warga asing.
Datuk M Saravanan berkata bahawa sijil diterima graduan memberi maksud keyakinan (nambikai) dan ini menjadi satu titik permulaan untuk mereka menjadi insan berguna dan berkemahiran dalam masyarakat.
Kerajaan sememangnya amat prihatin dengan perkembangan serta pembangunan belia terutamanya belia dari kategori berisiko tinggi. Kecenderungan belia kategori ini untuk terlibat dalam jenayah tidak dapat dinafikan. Maka pendekatan yang digunakan oleh organisasi seperti Yayasan MySkills untuk menyelamatkan belia sebegini amat dikagumi.
Turut hadir Dr. Sanmugasiva Manickam Pillai, Pengarah dan ahli Lembaga Yayasan MySkils dan Zakiah Mat Jali dari Bahagian kemahiran Kementerian Belia dan Sukan.
-DK