
Oleh Eviannie Kin Mei Hoon & Azman Jumat (Sabah)
KOTA KINABALU, 13 Mei (Malaysiaktif) –? Kerajaan Negeri sentiasa mengalu-alukan penglibatan agensi korporat dan swasta dalam menganjurkan aktiviti yang menyumbang ke arah peningkatan kemajuan pendidikan di negeri ini.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman menyatakan demikian semasa melancarkan Festival Pendidikan anjuran Kumpulan Utusan bersempena sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2016 yang julung kali diadakan di Sabah.
Musa berkata festival tersebut amat bermakna buat rakyat negeri Sabah kerana merupakan pameran pendidikan terbesar yang pernah diadakan di negeri ini.
Malah, beliau berkata, penganjurannya amat dialu-alukan sebagai menghargai para pendidik yang memainkan peranan besar dalam mendidik anak bangsa dan sebagai tunjang utama dalam memperkasa dan memajukan bidang pendidikan di negara ini.
“Saya percaya Festival Hari Guru ini mampu berperanan melahirkan modal insan cemerlang khususnya buat rakyat Sabah melalui aktiviti berasaskan pendidikan dan interaksi dua hala antara golongan pendidik dan masyarakat setempat,”kata beliau dalam ucapan perasmian di Universiti Malaysia Sabah (UMS), petang tadi.
Katanya juga festival berkenan juga dapat mempromosi pelbagai potensi dan tarikan yang terdapat di negeri ini.
Dalam pada itu, menurutnya, pendidikan adalah dasar yang paling penting dan menjadi keutamaan oleh kerajaan.
“Kerajaan sedar bahawa antara mekanisme paling berkesan untuk membela nasib rakyat dan memajukan negara adalah melalui pendidikan,”kata Musa.
Pelbagai program menarik berlangsung sepanjang empat hari festival seperti acara Larian Tatap Bah Sayang Cikgu bersama Utusan Malaysia pada esok paginya, 14 Mei dan pameran interaktif sempena Hari Guru.
Hadir sama Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun; Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Radin Malleh; Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas dan Pengarah Pendidikan Sabah, Maimunah Haji Suhaibul.