Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMelaka

Hari Belia Negara 2016: 40 Aktiviti Menarik Menanti Belia Melaka

By 26 Mei 2016Tiada komen2 minit bacaan

Oleh Fauzrina Hj Bulka

MELAKA, 25 Mei (Malaysiaaktif) – Sambutan Hari Belia Negara 2016 Peringkat Negeri Melaka yang akan diadakan pada 28 dan 29 Mei ini menyaksikan 40 aktiviti menarik menanti para belia.

Terbahagi kepada lima segmen utama, antara aktiviti yang dirancang adalah Majlis Bacaan Yassin, Mr. Body Beautiful, Melaka Food & Lokal Festival, Melaka X-Games Championship dan persembahan artis popular tanah air seperti Khai Bahar, Bunkface, Mark Adam, Karl Cromok dan Fivelous.

“Sambutan ini diadakan sebagai pengiktirafan dan penghargaan tertinggi kerajaan kepada golongan belia yang merupakan golongan majoriti di Malaysia,” ujar Timbalan Exco Pembangunan Belia dan Warisan Negeri Melaka, Datuk Norpipah Abdol.

Menurut Norpipah, program yang menyasarkan seramai 50,000 orang pengunjung tahun ini diharap dapat menerapkan semangat mesra belia di antara mereka dan pemimpin di samping menghimpunkan golongan belia dengan menterjemahkan potensi diri yang menjadi tulang belakang pentadbiran negara.

Tambahnya, selari dengan tema Hari Belia kebangsaan tahun ini, ‘The Future Is Now’, Melaka memilih ‘Maximize Youth Potential’ yang menggambarkan pentingnya sumbangan serta idea kreatif golongan belia dalam mendepani cabaran glokal dan global di masa akan datang sebagai temanya.

Program ini mendapat tajaan bernilai RM386 ribu termasuk hadiah, hamper, baucar rebat dan penginapan percuma.

“Selain pengiklanan melalui billboard (papan iklan), banner (sepanduk) dan bunting (panji) di sekitar negeri Melaka, pihak kami juga menguar-uarkan program ini melalui laman sosial Twitter, Facebook, Instagram dan WhatsApp,” kata Norpipah kepada pemberita dalam sidang media di Jabatan Belia dan Sukan di sini, semalam.

Sementara itu, Pra Pelancaran Hari Sukan Negara akan turut diadakan pada hari kedua program dan bakal disempurnakan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda