
Oleh Mohd Fadli Muhd Yusof / Foto: Mohd Shariff (Maran)
CHENOR, 15 Mei (Malaysiaaktif) — Jeti Chenor di Sungai Pahang akan dinaiktaraf bagi kemudahan masyarakat setempat dan juga penganjuran Pesta Air Chenor di masa akan datang.
Ini dinyatakan oleh Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abd Mutalib apabila mengumumkan pembiayaan sebanyak RM20,000 bagi tujuan tersebut semasa majlis penutup Pesta Air Chenor 2016 hari ini.
Menurut Ismail, Pesta Air Chenor yang memasuki kali ke-3 ini penting bagi negeri Pahang, terutama dalam usaha merakyatkan seni budaya seiring pembangunan ekonomi penduduk setempat.
Sehubungan itu, beliau berkata penghayatan seni dan budaya berlandaskan sinergi masyarakat dan sungai sejak turun temurun berpotensi dijenamakan sebagai tarikan lokasi ini dalam konteks pelancongan.
Dalam pada itu, Ismail yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata pesta ini wajar dianjurkan setiap tahun, walaupun pada tahun ini penganjur terpaksa berdepan dengan kesan kemarau melampau berikutan fenomena El Nino.
Pesta air selama tiga hari yang bermula Jumaat lepas ini menonjolkan sebanyak 49 acara permainan rakyat, termasuk galah panjang, batu seremban, gasing pangkah, lastik gelang getah, panjat tiang licin, gusti lengan, congkak, dan bola sepak kain pelikat.
Turut diadakan, aktiviti menjala ikan dan mencari kijing (hidupan sungai yang seakan-akan kerang atau kupang).
Selain permainan tradisional, acara lain yang disenaraikan termasuk, acara beruk memetik kelapa, kerbau dan ayam serama tercantik, acara kayak dan bot laju, larian ke Puncak Bukit Kertau, meneka berat ikan patin dan pertandingan rakit paling cantik.
Pesta ini juga memperagakan pelbagai jenis makanan masyarakat setempat bagi manfaat pengunjung luar. Antara hidangan warisan unik yang diketengahkan, termasuk tijem, iaitu sejenis hidupan air seakan kupang yang hidup di tebing Sungai Pahang.
Pesta yang dianjurkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKM) dengan kerjasama masyarakat setempat ini menarik lebih 5,000 orang pengunjung.
Perasmian disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Ab. Ghaffar A Tambi semalam.