Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala Lumpur

Ops Bersepadu PERKESO Akan Dilancarkan

By 17 Mei 2016Tiada komen1 minit bacaan

 

Oleh Herman Hamid

KUALA LUMPUR, 17 Mei (Malaysiaaktif) – ‘Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) WPKL akan mengadakan Ops Kesan Bersepadu PERKESO Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor bagi mengesan majikan yang belum atau gagal mendaftarkan perusahaan dan pekerja mereka.

Ini diumumkan oleh Timbalan Ketua Eksekutif Operasi PERKESO, Johan Riba Anak Marin semasa merasmikan Ops Kesan Bersepadu PERKESO Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2016 di Dewan Kenanga Menara PERKESO  di sini hari ini.

Menurut beliau jika terdapat mana-mana majikan yang melakukan kesalahan ini, mereka boleh dikenakan kompaun dari RM500 hingga RM4,000. Seterusnya jika majikan masih gagal berbuat demikian, mereka akan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 9A Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (AKSP) dan boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Tambah beliau, ‘Operasi bersepadu ini akan dijalankan oleh anggota-anggota penguatkuasaan dari Pejabat PERKESO Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Klang, Kajang dan Rawang’.

Sementara itu,  berikutan Program Ops Kesan Kebangsaan yang dilancarkan pada 1 April lalu, Pejabat PERKESO Klang telah mengeluarkan sebanyak 49 kompaun bernilai RM56,000 kepada 81 majikan, Pejabat PERKESO Kajang mengeluarkan sebanyak 44 kompaun bernilai RM43,000 kepada  25 majikan, Pejabat PERKESO Rawang, sebanyak enam kompaun kepada 34  majikan bernilai RM51,500  dan Pejabat PERKESO Petaling Jaya mengenakan kompaun bernilai RM32,000.

Menurut rekod PERKESO, tahap ketidakpatuhan majikan di Lembah Klang setakat ini adalah di antara 8.5% dan 10.4% .

 

-AAS

Tinggalkan komen anda