Oleh Fauziah Hussain / Foto : Fariz Faizal Mohd Nazri
KUALA LUMPUR, 17 Mei (Malaysiaaktif) – Forum serantau Suruhanjaya Antara Negara ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (Asean Intergovernmental Commission on Human Rights (AICHR) berlangsung di sini selama dua hari bermula semalam.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad berkata dalam konteks ini pengamal media tempatan dan negara-negara anggota ASEAN mempunyai tugas untuk melaporkan dengan tepat isu-isu berhubung hak asasi mansuia.
Menurutnya lagi, dalam usaha berpegang kepada etika selaras dengan kewajipan profesional kewartawanan, mereka seharusnya mengelak daripada membuat laporan berat sebelah. Sekiranya ini berlaku, akibatnya pembaca tidak akan mampu memahami tindakan dan dasar-dasar kerajaan berhubung hak asasi manusia.
Teks ucapannya disampaikan oleh Setiausaha Bahagian Antarabangsa Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), S. Letchumanan.
Forum mengenai Media dan Hak Asasi Manusia Dalam Negara ASEAN ini merupakan kesinambungan usaha AICHR untuk mendekati pengamal media dalam Negara ASEAN ke arah usaha mempromosi dan melindungi hak asasi manusia serantau.
Sehubungan itu, ia juga bertujuan untuk memberi kefahaman dan pendedahan tentang profesionalisme dan etika pelaporan kepada media di rantau ASEAN dan hak asasi manusia peringkat antarabangsa.
Antara peserta forum termasuk wakil Malaysia ke AICHR, Edmund Bon Tai Soo, Pengerusi AICHR, Phoukhong Sisoulath, Setiausaha Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Malaysia (SUHAKAM), Rodziah Abdul dan Ketua Delegasi serta Duta Kesatuan Eropah di Kuala Lumpur, Luc Vandebon.
Seramai 70 peserta dari negara-negara anggota ASEAN mengambil bahagian, termasuk wakil-wakil AICHR, agensi kerajaan, negara anggota ASEAN, pengamal media, para akademik dan pakar hak asasi manusia
Forum dianjurkan bersama oleh Kementerian Luar Negeri, Kementerian Komunikasi dan Mutimedia (KKMM) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Malaysia (SUHAKAM) dengan kerjasama ‘Regional EU-ASEAN dialogue Instrument ( READI) and Human Rights Facility.’