Oleh: Asmidar Zanol / Foto: Saiful Rahman Sabri
KUCHING, 4 Mei (Malaysiaaktif) – Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak mengingatkan setiap menteri untuk melaksanakan setiap janji yang diberikan sepanjang kempen pilihan raya negeri (PRN) Sarawak ke-11 disempurnakan mengikut jadual.
“Saya ingin mengingatkan kepada setiap menteri bahawa janji-janji yang telah diluahkan oleh mereka di Sarawak ini hendaklah disusuli dengan tindakan mengotakan janji-janji tersebut,” ujar Najib yang ditemui selepas Mesyuarat Jemaah Menteri di Wisma Bapa Malaysia di sini sebentar tadi.
Sementara itu, ketika ditanya tentang perang psikologi pada saat akhir, Najib berkata pengundi perlu sedar bahawa apa-apa yang didakwa terutamanya putar-belit yang dilakukan mestilah diambil kira dalam konteks cuba meraih sokongan dalam waktu pilihan raya.
Najib juga mengingatkan jentera PRN untuk lebih berhati-hati pada tempoh masa berbaki ini kerana pembangkang mungkin akan melontarkan isu-isu tertentu seperti yang berlaku ketika pilihan raya umum (PRU130 yang lalu.
“Pada saat akhir pada hari pembuangan undi pembangkang telah mengviralkan kononnya BN mengimport 40 ribu warga Bangladesh untuk mengundi dan isu tersebut amat hangat hingga menyebabkan rakyat marah kepada BN.
“Walau bagaimanapun, selepas pilihan raya mereka sedar itu merupakan penipuan oleh pihak pembangkang,” tegas Najib.
Najib turut menjelaskan Mesyuarat Jemaah Menteri yang diadakan pagi tadi di Wisma Bapa Malaysia sebagai tanda sokongan kepada Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem dan kerajaan pimpinan BN negeri ini.
“Ini bukanlah perkara yang luar biasa, memang Jemaah Menteri mengadakan mesyuarat di luar Putrajaya dari semasa ke semasa. Di sini, setiap menteri akan melihat kerja-kerja kementeriannya, masalah-masalah yang dihadapi rakyat yang ada kaitan dengan kementeriannya dan keberkesanan projek-projek yang telah pun diluluskan oleh kerajaan serta membuat tinjauan berhubung dengan keadaan setempat.
“Ini berbeza kalau pembangkang nak jadikannya sebagai isu, saya nak mengingatkan, pemimpin mereka seperti Ketua Menteri Pulau Pinang tidak ada bidang kuasa di luar Pulau Pinang tetapi dia berada di sini. Ini bererti dia di sini hanya untuk berkempen semata-mata,” kata Najib.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
SF