
Oleh: Yahya Abdul Rajak & Taulani Hamzah (Sabah)
KOTA KINABALU, 6 Mei (Malaysiaktif) –? Hadiah wang tunai lebih RM80 ribu menanti pemenang Kejohanan Lumba Perahu Naga Antarabangsa Negeri Sabah 2016 pada 21 hingga 22 Mei ini di Likas Bay, Kota Kinabalu.
Menurut Presiden Persekutuan Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS), Datuk Seri Dr. T.C Goh, kejohanan kali ketiga itu dijangka lebih meriah dengan sasaran lebih 100 penyertaan dari dalam dan luar negara.
Perlumbaan tersebut juga dijangka lebih menarik apabila bakal disertai oleh kumpulan dari China, Filipina, Brunei dan beberapa buah negara lain.
“Sebanyak sembilan kategori dipertandingkan antaranya kategori antarabangsa, persatuan Cina tempatan dan campuran,” katanya selepas membuat kunjungan hormat terhadap Yang DiPertua Sabah, Datuk Seri Dr. Haji Juhar bin Datuk Haji Mahiruddin di Istana Negeri, pagi tadi.
Tambahnya, penganjuran berkenaan akan lebih meriah melalui pelaksanaan berkonsepkan karnival kerana masyarakat bukan sahaja boleh melihat perlumbaan perahu naga malah turut berpeluang menyaksikan pertandingan masakan tradisional masyarakat Cina oleh komuniti wanita FCAS.
Justeru, beliau mempelawa seluruh masyarakat untuk hadir memeriahkan kejohanan tersebut dengan menyaksikan pelbagai acara dan aktiviti dipersembahkan bagi hiburan seisi keluarga pada hari berkenaan.
SF