Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Rakyat Sarawak yakin kemampuan ‘Team Adenan’

By 7 Mei 2016Tiada komen3 minit bacaan

 

Oleh Mohd Ayop Abd Razid

Hari ini  adalah hari mengundi bagi Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-11 (PRN-11). Pastinya disaat akhir ini kempen untuk menawan hati pengundi semakin hebat dan panas dilakukan oleh parti-parti yang bertanding. Dari laporan dan maklumat media –  media konvensional mahupun media baharu – serta laporan lapangan jelas mengambarkan sokongan rakyat lebih cenderung kepada Barisan Nasional (BN). Pilihan raya kali ini pastinya akan membawa kemenangan besar kepada BN.

Hakikatnya, rakyat Sarawak, khususnya mereka yang akan mengundi begitu bersemangat menanti tarikh 7 Mei ini untuk memberikan mandat baharu kepada BN Sarawak. Mereka menantikan kemengan BN untuk menikmati lebih banyak pembangunan  yang akan memberikan seribu satu kebaikan kepada mereka.

Banyak indikator yang menunjukkan pengundi bersedia memberi kemenangan majoriti dua pertiga, malah BN dijangka  memperoleh kemenangan luar biasa dalam pilihan ini. Kebanyakan penganalisis melihat Adenan sebagai  faktor  utama yang akan membawa kemenangan. Beliau benar-benar menjadi daya  penarik paling besar bagi BN di negeri Kenyalang itu.

Bagi rakyat Sarawak, Tun Adenan Satem adalah pemimpin yang benar-benar berjiwa rakyak. Jalinan mesranya dengan  rakyat begitu dirasakan oleh rakyat Sarawak. Apa tidaknya, selepas mengantikan Tun Abdul Taib Mahmud yang meletak jawatan dua tahun lepas, Adenan telah menunjukkan gaya pentadbirannya yang memberikan impak berkesan kepada rakyat dalam tempoh yang singkat.

Dalam tempoh dua tahun beliau  telah melaksanakan lebih 50 tindakan yang dilihat dapat membantu mengurangkan bebanan rakyat terutama penduduk kawasan luar bandar. Langkah paling berani beliau selepas menjadi ketua menteri ialah berhadapan dengan taikun balak di negeri itu dan berusaha membanterasnya secara habis-habisan pembalakan haram dan ke atas pegawai penguat kuasa yang bersekongkol dengan taikun-taikun pembalakan haram.

Beliau turut mengambil beberapa langkah untuk meningkatkan produktiviti komuniti perniagaan serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan. Rakyat Sarawak juga melihat beliau adalah pemimpin yang bersungguh-sungguh memperjuangkan hak-hak Sarawak dan penurunan kuasa daripada Kerajaan Persekutuan. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri telah memberikan respon yang cukup positif  terhadap usaha itu.

Adenan juga berjaya menawan minda dan jiwa kaum Cina di bumi Kenyalang itu. Adenan tidak suka dengan  golongan yang fanatik yang memanggil kaum Cina sebagai ‘pendatang’. Selain itu, beliau melihat dasar tidak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai sesuatu yang tidak sesuai kerna ia menjejaskan peluang  kemasukan pelajar Cina ke universiti dan perkhidmatan awam di negeri itu.

Sikap positif beliau terhadap masyarakat Cina ini dilihat menjadi tarikan kepada masyarakat Cina di negeri itu untuk memberikan sokongan kepada BN Sarawak. Penulis yakin DAP akan kehilangan beberapa kerusi yang dimenanginya pada PRN 2011. Lim Kit Siang (DAP) sendiri  mengakui beberapa kawasan yang dimenangi DAP sebelum ini  berada dalam kedudukan yang tidak selamat.

Pelbagai usaha yang telah dilaksanakan Adenan sebelum ini telah meningkatkan popularitinya. Merdeka Center dalam kajiannya mendapati populariti Adenan melonjak kepada 84 peratus. Hakikatnya, rakyat Sarawak mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap kepemimpinan Adenan. Mereka tidak melihatnya sebagai retorik, sebaliknya melihat Adenan mampu menlaksanakan pembaharuan di negeri itu.

Sekiranya BN Sarawak diberi mandat  dan Adenan dilantik menjadi Ketua Menteri Sarawak untuk tempoh lima tahun lagi maka lebih banyak pembaharuan akan dilakukan lebih-lebih lagi beliau mempunyai hubungan cukup baik dengan Putrajaya.

Kesimpulannya, politik pembangunan masih menjadi daya penarik di negeri itu. Janji-janji pembangunan yang dimaktubkan dalam Manifesto BN Sarawak dalam pilihan raya kali ini  diyakini rakyat Sarawak.  Walaupun Adenan yakin bahawa BN Sarawak boleh memenangi pilihan raya kali ini, namun beliau tetap tidak merendahkan cabaran parti-parti pembangkang.

Justeru, beliau dengan pasukannya  (‘Team Adenan’)  tetap menyusun kempen BN secara  bersepadu dan terus mara menawan hati rakyat Sarawak. Cabaran  sebenar yang dihadapi BN Sarawak ialah memastikan pengundi muda menyokong ‘Team Adenan.’

 

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda