Skip to main content
Berita TempatanSabah

Riadah Sambil Beramal di Karnival Suria Sabah

By 27 Mei 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Muhammad Khairul Azad Yunus & Nasrie Tapas (Sabah)

KOTA KINABALU, 28 Mei (Malaysiaktif) –? Warga bandar raya dan sekitarnya berpeluang untuk beriadah sambil beramal di Karnival Suria yang bermula semalam hingga 29 Mei ini di Dataran Letak Kereta, Kompleks Sukan Likas.

Karnival anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) bersama Yayasan Suria itu bertujuan menyampaikan maklumat dan dasar kerajaan kepada orang ramai dalam bentuk santai, di samping memberikan fokus melahirkan kesedaran masyarakat terhadap peranan Yayasan Suria.

Menurut Timbalan Pengarah Penerangan Sabah, Yunus Saprin, karnival itu juga menyediakan ruang kepada orang ramai berinteraksi dengan badan  kerajaan dan bukan kerajaan melalui pameran, demonstrasi, sukan dan pertandingan.

Sehubungan itu, pelbagai acara disusun termasuk pameran, demonstrasi, jualan produk, sukan, pertandingan, hiburan dan bengkel sepanjang tiga hari program tersebut berlangsung.

Pelbagai program yang dirancang adalah seperti Kayuhan Karnival Suria, Pameran Kereta dan Motosikal (Autoshow), Titian Mesra RTM, Larian Amal, Sukan Rakyat, Pameran dan Jualan Produk, Aktiviti Interaktif, Pertandingan Bintang 1Malaysia, Zumba bersama Zin Cha-cha Garza dan Cabutan Bertuah yang menawarkan sebuah kereta Perodua Axia dan sebuah motosikal serta barangan elektronik selain persembahan hiburan oleh artis jemputan.

“Hasil jualan tiket bertuah akan turut disumbangkan kepada Yayasan Suria,” katanya dalam sidang media karnival Suria semalam.

Yunus berharap program tersebut mampu memberikan impak positif terhadap sokongan rakyat kepada kerajaan sedia ada memandangkan pengisian program berbentuk mesra rakyat, infotainment, interaktif dan perkhidmatan.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Yayasan Suria, Datuk Hajah Raya Erom berkata pihaknya terpanggil untuk turut sama dalam karnival tersebut untuk mencari dana bagi membina bangunan baharu Yayasan Suria untuk kegunaan seperti asrama pelajar dan pusat tahfiz.

“Sumbangan orang ramai pada karnival itu nanti akan digunakan untuk membiayai kos pembinaan bangunan baharu yang akan dilengkapi asrama pelajar, pusat tahfiz dan pusat aktiviti komuniti setempat,” katanya.

“Yayasan Suria yang ditubuhkan sejak 20 tahun lalu telah menyediakan pelbagai bantuan seperti asrama untuk pelajar-pelajar di kawasan pedalaman, bantuan persekolahan dan bantuan kebajikan kepada keluarga pelajar yang memerlukan,” tambahnya.

Perasmian akan disempurnakan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Panglima Dr. Haji Mohd Salleh Tun Said Keruak serentak dengan pelepasan Kayuhan Karnival Suria yang berlangsung pada 7.00 pagi esok.

Sebanyak 39 agensi kerajaan dan swasta menyertai program ini antaranya termasuklah Jabatan Penerangan Malaysia, Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Yayasan Suria, Jabatan Meteorologi, dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

 

-SF

Tinggalkan komen anda