Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelaka

Derma – Rahsia Peroleh 5A UPSR

By 27 Mei 2016Tiada komen2 minit bacaan

Oleh Fauzrina Hj Bulka (Melaka)

MELAKA, 27 Mei (Malaysiaaktif) – Bapa pelajar Sekolah Kebangsaan Kampung Tun Abdul Razak di Melaka, Ahmad Zuhdi Azman, 13, yang berjaya peroleh semua A dalam Ujian Penilaian Rendah (UPSR) pada tahun lepas mendedahkan rahsia anaknya cemerlang dalam peperiksaan tersebut.

Menurut Azman Abd Aziz, corak didikannya bukan sebab utama menyumbang kecemerlangan anak kelimanya memperoleh 5A dalam UPSR tetapi kemurahan hati anaknya yang suka menderma.

“Rahsia kecemerlangan anak saya jika yang sering saya lihat dan perhati, dia gemar menderma di surau dan masjid, walaupun saya tidak memberinya duit semewah mana, namun dia simpan sedikit untuk menderma,” ujar Azman.

Selain cemerlang dalam pelajaran, Ahmad Zuhdi juga merupakan Ketua Pengawas yang disegani serta Johan Pertandingan Pantun Peringkat Negeri dan Kebangsaan.

“Pelajaran saya agak terganggu sedikit kerana berlatih untuk pertandingan pantun dan dalam peperiksaan percubaan saya hanya peroleh 3A 2B, namun saya segera fokus untuk menjawab peperiksaan akhir,” ujar Ahmad Zuhdi.

Manakala, pemenang Anugerah Pelajar Cemerlang Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Nor Hidayah Suleiman, 19, berkata selain mengamalkan makanan sunnah seperti kurma madu dan air zam-zam, dia juga sering berkongsi ilmu dengan kawan-kawannya.

Nor Hidayah - Rahsia Cemerlang

 

“Saya percaya jika mengajar semula apa yang kita telah pelajari, ilmu akan mudah lekat dan saya sering menelaah pada pukul 4.30 pagi kerana waktu itu, otak kita masih segar serta mampu menghafal lebih cepat dan banyak,” katanya.

Nor Hidayah yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Al Asyraf berjaya memperoleh 10 Mumtaz Sofi dalam peperiksaan STAM 2015.

Malaysiaaktif menemui mereka dalam Majlis Anugerah Sekolah dan Pelajar Cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) Negeri Melaka 2015 kelmarin.

Rahsia Cemerlang

 

Pada majlis itu, 457 pelajar cemerlang menerima sijil simpanan premium membabitkan peruntukan berjumlah RM79,200 yang disampaikan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idsris Haron.

-DZ

Tinggalkan komen anda