Oleh Syed Fauzi Syd Mostapa (Putrajaya)
PUTRAJAYA, 14 Mei (Malaysiaaktif) – 163,681 calon yang layak dipertimbangkan untuk kemasukan ke program pengajian peringkat Asasi, Diploma di Universiti Awam (UA), dan Politeknik Premier bagi Sesi Akademik 2016/2017 boleh menyemak status keputusan masing-masing bermula 12.00 tengah hari, Isnin depan.
Menurut Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Asma Ismail menerusi siaran media yang dikeluarkan oleh kementeriannya hari ini, sejumlah 440,688 calon telah menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2015 namun hanya 181,317 calon telah mengemukakan permohonan UPUOnline.
Pemohon boleh membuat semakan tawaran dan mencetak surat tawaran rasmi melalui laman web rasmi UA berkaitan atau Jabatan Pendidikan Politeknik (JPP), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mulai Selasa, 17 Mei 2016.
Semua pemohon yang berjaya dikehendaki membuat pengesahan penerimaan tawaran oleh UA atau Politeknik Premier melalui laman web rasmi UA atau JPP.
Kegagalan mengesahkan penerimaan atau penolakan tawaran pada tarikh yang ditetapkan, calon dianggap menolak tawaran tersebut.
Selain kemasukan ke UA atau Politeknik Premier, Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar Jabatan Pendidikan Tinggi (BPKP JPT) turut menyelaras kemasukan ke Politeknik Konvensional atau METrO, Kolej Komuniti dan ILKA. Keputusan kemasukan akan diumumkan pada Khamis, 26 Mei 2016 mulai 12.00 tengah hari.
Hanya pemohon gagal boleh mengemukakan permohonan rayuan melalui UPUOnline Rayuan yang akan dibuka lima hari sahaja mulai 26 hingga 31 Mei 2016 menerusi http://upu.mohe.gov.my. Dasar pemilihan rayuan adalah untuk mengisi kekosongan tempat mengikut program pengajian di UA atau Politeknik Premier selepas pendaftaran pelajar baharu.
Keputusan rayuan akan diumumkan pada minggu kedua Jun 2016. Jika tiada sebarang tawaran diterima dari UA atau Politeknik Premier dalam tempoh empat minggu selepas tarikh pendaftaran pelajar baharu, maka rayuan tersebut dianggap gagal.
Sementara itu, BPKP JPT akan membuka kaunter khidmat runding cara berkaitan permohonan kemasukan di bangunan KPT, Presint 5, Putrajaya mulai 17 Mei hingga 1 Jun 2016 dari 8.30 pagi hingga 4.30 petang untuk memudahkan pemohon membuat semakan.
Kemudahan “Hotline” turut disediakan untuk membantu menjawab sebarang kemusykilan pemohon. Pemohon boleh menghubungi BPKP JPT menerusi 03-8870 6767 dan 03-8870 6777 untuk bantuan.