Oleh: Syed Fauzi Syd Mostapa & Diyana Zamri / Foto: Saiful Rahman Sabri
KUCHING, 6 Mei (Malaysiaaktif) – Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak mengesahkan bahawa sehingga malam ini, tiada laporan tentang helikopter AS350/RP-C 6828 yang hilang dari radar petang semalam di sekitar Sibuyau telah dijumpai.
Menurut Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman, tiada pengesahan yang diterima daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA) tentang mana-mana pusat mendarat yang dikesan.
“Kami juga bergantung kepada DCA untuk memberikan laporan yang jelas dan pada malam ini telah memanggil jabatan-jabatan yang akan membantu mencari pesawat yang hilang,” ujar Muhammad Sabtu yang ditemui dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak sebentar tadi.
Jabatan-jabatan yang terlibat termasuk Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pasukan Gerakan Am (PGA), Tentera Marin, dan lain-lain.
PDRM Sarawak telah mengaktifkan misi Mencari dan Menyelamat (SAR) dengan kerjasama jabatan-jabatan tersebut.
Setakat ini, sebanyak 30 anggota JPAM dan JBPM, 13 orang tentera Marin dan penyelam Jabatan Siasatan Jenayah (CID) serta 12 orang anggota PDRM di tiga daerah iaitu Balai Sri Aman, Balai Simunjan dan Balai Betong terlibat dalam misi SAR ini.
“Satu unit platun PGA telah bergerak ke Sri Aman malam tadi. Pukul 6.00 pagi nanti, pasukan marin pula akan dikerahkan ke kawasan tersebut,” kata Sabtu lagi
Sementara itu, Sabtu turut menyatakan cuaca di sekitar kawasan tersebut petang tadi tidak begitu baik oleh sebab hujan.
Helikopter yang dinaiki enam orang termasuk juruterbang dan beberapa orang kenamaan termasuk Timbalan Menteri Kementerian Perusahaan, Perladangan, dan Komoditi (KPPK), Datuk Noriah Kasnon, telah dilaporkan hilang petang tadi ketika dalam perjalanan ke Kuching dari Betong.
Tambahnya, penerbangan tersebut sepatutnya mengambil masa kira-kira 35 hingga 45 minit itu berlepas pada 4.12 petang dan dilaporkan hilang dari radar pada 4.32 petang.
Turut hadir Pengarah JBPM Sarawak, Tuan Nor Hisham Mohamad dan Pengarah JPAM Sarawak, Kol (PA) Mohtar Samat.