Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Lagu Dendangan Adenan Berjaya Sumbang 105 Kerusi Roda

By 6 Mei 2016Tiada komen2 minit bacaan

 Oleh: Asmidar Zainol / Foto: Khirul Nizam Zanil

KUCHING, 5 Mei (Malaysiaaktif) – Tiga buah lagu dendangan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem ketika merasmikan Radio TEA FM Ogos lalu telah berjaya mengumpul sumbangan untuk membantu pihak Hospital Umum Sarawak membeli 105 kerusi roda khas.

Puan Sri Datuk Hajah Jamaliah, isteri Adenan menerima cek RM200 ribu daripada TEA FM dan menyerahkan cek tersebut kepada Pengarah Hospital Umum Sarawak, Dr Chin Zin Hing bagi tujuan pembelian kerusi roda tersebut di Hospital Umum Sarawak di sini petang tadi.

Menurut Jamaliah, wang sumbangan tersebut dikumpul semasa majlis perasmian radio berkenaan pada Ogos 2015. Pihak TEA FM bersetuju untuk membuat kutipan sekiranya Adenan mendendangkan tiga buah lagu semasa majlis tersebut.

Tambahnya, ketika itu Adenan telah mendendangkan lagu Elvis Presley, I Can’t Help Falling in Love with You dan The Young Ones serta lagu P.Ramlee, Putus Sudah Kasih Sayang.

TEA FM yang dilancarkan pada Ogos 2015 merupakan stesen radio swasta berbahasa Mandarin dan Inggeris pertama di Sarawak di bawah KTS Group Holdings.

“Seperti yang kita tahu, Ketua Menteri merupakan seorang yang berjiwa rakyat dan banyak terlibat dengan program-program kebajikan. Oleh yang demikian, kami berdua bersetuju untuk memberikan sumbangan yang diterima kepada pihak hospital agar kerusi roda tersebut dapat digunakan oleh semua lapisan rakyat di negeri ini.

“Untuk program seterusnya saya dan suami akan cuba menyediakan peralatan kepada pesakit buah pinggang dan jantung. Saya dan suami berharap lebih banyak syarikat swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) akan memberi sokongan dan sumbangan demi kesejahteraan rakyat di negeri ini,” ujar Jamaliah lagi.

Sementara itu, menurut Dr. Chin, sumbangan tersebut amat dialu-alukan oleh pihak hospital memandangkan peruntukan hospital sedia ada adalah terhad.

“Kerusi roda khas yang akan dibeli ini lebih ringan dengan penyandar boleh laras berserta tempat letak tangan yang lebih selesa.

“Menerusi sumbangan tersebut, pihak kami juga akan membeli empat unit mesin ECG, sebuah Vital Sign Monitor dan sebuah Pulse Oximeter untuk digunakan di hospital ini.

Dr. Chin turut mengalu-alukan sumbangan pihak NGO dan syarikat swasta untuk menambah baik kemudahan fasiliti sedia ada di setiap hospital untuk keselesaan orang ramai.

SF

Tinggalkan komen anda