Oleh : Sylvia Jocylena Sumping
Jurufoto: Jeffrey Nian
LABUAN, 9 Mei (Malaysiaktif) –? Muzium Labuan, Jabatan Muzium Malaysia mengadakan pameran Makanan Tradisi Masyarakat Labuan kepada orang ramai bermula 3 Mei hingga 30 Jun 2016 di aras atas Muzium Labuan. Sepanjang pameran berlangsung, pelbagai aktiviti telah direncanakan seperti Demonstrasi Mengelupis dan Demonstrasi Menumpah Ambuyat serta Kuiz Radio Labuan FM pada 14 Mei 2016.
Penolong Kurator Kanan Muzium Labuan, Nazli Ho bin Abdullah berkata, pameran ini menonjolkan 47 jenis makanan termasuk kuih-muih tradisional daripada masyarakat pelbagai kaum di Labuan seperti masyarakat Melayu-Kadayan, Melayu-Brunei, Kadazandusun, India, Cina dan Bajau.
Selain itu, menurut Nazli, pameran ini juga bertujuan untuk memperkasakan peranan Muzium Labuan dalam memelihara dan menyebarluaskan ilmu pengetahuan mengenai warisan makanan tradisi yang semakin dilupakan oleh generasi muda akan datang.
Katanya lagi, menyedari kepentingan dan falsafah makanan tradisi sebagai warisan sejarah dan budaya yang mampu menjadi medium perpaduan kaum maka tercetusnya idea untuk menghasilkan sebuah pameran menarik yang bertajuk “Makanan Tradisi Masyarakat Labuan” yang merungkai, mendeskripsi dan memperagakan kepelbagaian dan keunikan makanan tradisi berbilang kaum di Labuan.
Pulau Labuan dihuni dan didiami oleh pelbagai kaum yang terdiri daripada suku kaum Kadayan, Brunei, Kadazandusun, Cina, India, Sikh dan Bajau. Kepelbagaian kaum ini telah membentuk variasi makanan tradisi yang unik dan menarik yang dinikmati secara silang budaya oleh penduduk Labuan.
Masakan dan kuih-muih tradisi Labuan mempunyai ciri yang tersendiri dari segi bentuk, rasa, warna serta proses pembuatannya. Hidangan makanan tradisi ini dapat dilihat pada upacara perayaan, keagamaan dan majlis keramaian.
Nazli berharap pameran ini mampu menonjolkan aspek sosio-budaya masyarakat di Labuan, di samping dapat mempromosikan produk makanan tradisi kepada pelawat tempatan dan pelawat luar negara.