Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomePerakViral

Datin Mastura Carian Nama Tertinggi di Internet

By 8 Jun 2016Jun 20th, 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh: Aimi Huwaina (Putrajaya)

KUALA KANGSAR, 8 Jun (Malaysiaaktif) – Dalam kehangatan musim Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar, calon Barisan Nasional (BN), Datin Mastura Mohd Yazid merupakan antara pencarian tertinggi di internet setakat ini.

Perkara ini telah diumumkan oleh Pengerusi Biro IT UMNO Pusat, Datuk Ahmad Maslan dalam satu sidang media khas ketika melawat Pusat Media KKMM Pilihan Raya Kecil P.067 Kuala Kangsar, petang tadi.

“Setakat ini kalau kita sebut Datin Mastura dalam internet, adalah antara search yang paling tinggi,” ujarnya.

Tambah Maslan, terdapat ramai pengundi muda di Kuala Kangsar.

“Lebih kurang 40% pengundi muda, dan mereka ini tidak minat datang ceramah, tidak minat untuk pergi program-program tetapi amat minat melihat sosial media… Jadi minat mereka untuk mengetahui lebih lanjut tentang calon ini, amat tinggi,” jelas Maslan.

Menurutnya, balu kepada mantan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Allahyarham Datuk Wan Muhammad Khair-il Anuar Wan Ahmad itu lebih dikenali penduduk setempat berbanding calon lain.

“Tiga calon lain itu rakyat tidak pernah jumpa pun. Itu kekuatan Datin Mastura yang sudah bersama dengan arwah selama 30 tahun di Kuale ini dalam pelbagai kapasiti. Tetapi yang pentingnya, ketika arwah menjadi ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) satu penggal, dan ketika arwah menjadi Ahli Parlimen untuk tiga tahun, Datin Mastura sentiasa berada bersamanya.

“Rakyat di Kuale ini dah kenal siapa Datin Mastura, walaupun pada tempoh untuk kempen ini beliau tidak kelihatan dan hanya diwakili anaknya. Yang lain-lain itu tak pernah nampak batang hidung pun selama ini, dan mereka bukan pengundi di sini pun,” jelas Maslan.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah, Yayasan Destini Anak Bangsa (YDAB), Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Sri Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar dan Ketua Pegawai Eksekutif YDAB, Datuk Aizuddin Mohd Ghazali.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda