Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanEkonomiHomeMelakaViral

Jual Besi Buruk, Tin Minuman Untuk Berbuka

By 15 Jun 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Fauzrina Hj Bulka

MELAKA 15 Jun (Malaysiaaktif) – Ramadan ini, Zarina Rahim, 46 terpaksa berehat daripada berjualan kerana kesihatan diri yang tidak mengizinkan. Pada hari-hari biasa, dia akan bangun awal untuk menyiapkan nasi lemak sebagai sumber pendapatan.

Suaminya, Rohaizan Zakaria, 50, hanya mampu mencari besi buruk dan tin minuman setiap hari untuk dijual, dan hasilnya digunakan untuk membeli makanan untuk berbuka puasa.

“Hari ni suami akak dapat tak sampai RM30 lepas jual besi, cukuplah untuk kami lapan beranak hari ni. Mak mertua pun tinggal bersama kami. Dapatla sediakan hidangan ala kadar,” ujarnya.

 

698cd3ff-2722-4309-be16-99ceb6ef0749

Akmal bantu mempromosi nasi lenak ibunya melalui Facebook untuk pendapatan tambahan.

 

Malaysiaaktif menjejaki Zarina di rumahnya yang terletak bersebelahan dengan Masjid Tangga Batu Kecil baru-baru ini, selepas anak keduanya Akmal Arif Rohaizan,19 membantu mempromosikan jualan nasi lemak ibunya di laman Facebook.

Akmal tidak sempat mengambil peperiksaan SPM tiga tahun lepas, setelah terlibat dalam kemalangan hingga menyebabkan tempurung kepala terpaksa dibedah mengeluarkan darah beku. Susulan prosedur itu, dia lumpuh separuh badan dan hanya terlantar di katil sehingga sembuh dan dapat berjalan semula awal tahun ini.

“Niat saya nak bantu ibu dapatkan pelanggan, sebab di sini tak ramai orang, orang susah nak parking sebab gerai kami betul-betul tepi jalan. Alhamdulillah lepas itu ibu dapat banyak tempahan, mujur ada wifi masjid untuk saya layari internet,” jelas Akmal.

 

b6d86fe2-ae54-4d18-8914-56e36addc78c

Jual nasi lemak untuk pendapatan tambahan.

 

Mengulas lebih lanjut, Zarina berkata persediaan raya mereka sederhana sahaja. Untuk tahun ini, sudah ada yang menderma kain ela untuk dijadikan baju kurung. Anak-anak yang kecil akan diusahakan juga belikan baju raya yang murah, yang penting mereka gembira.

“Anak sulung dah berjanji nak belikan adik-adiknya baju raya, selain menjual roti sosej di tempat bekerja, dia juga membuat kerja lebih masa untuk persediaan menjelang raya,” ujar Zarina.

Menurutnya, suami dan anaknya ada menerima elaun bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat setiap bulan berjumlah RM650 kedua-duanya, juga barangan dapur bernilai RM200 daripada Jabatan Agama Islam Melaka.

Tambahnya, beliau akan berjualan semula selepas Ramadan jika ada modal, sekurang-kurangnya meringankan beban suaminya yang juga menghidap sakit belakang dan tidak mampu untuk melakukan kerja berat.

 

-AAS

Tinggalkan komen anda