Skip to main content
Berita TempatanSabah

KAFA Gayang Dapat Perhatian Toh Puan Norlidah

By 24 Jun 2016Tiada komen2 minit bacaan

  Oleh: Zuraidah Ahmad & Johnny Joklis (Sabah)

KOTA KINABALU, 24 Jun (Malaysiaktif) –? Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) Kampung Gayang yang uzur, mendapat perhatian isteri Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Norlidah R.M Jasni.

Berdasarkan tinjauan, bangunan yang 90 peratus reput dimakan anai-anai itu didapati tidak selamat diduduki dan memaksa para pelajar kelas itu berpindah ke dewan serbaguna kampung berkenaan bermula Januari tahun ini.

Menurut Pengerusi KAFA Mateli Ekeh kini terdapat 120 pelajar dengan bimbingan enam tenaga pengajar memerlukan sekurang-kurangnya lima buah bilik untuk menempatkan mereka mengikut tahap masing-masing.

“Sebelum ini, kita mempunyai empat kelas iaitu dua di bangunan KAFA dan dua lagi di masjid. Memandangkan keadaan bangunan KAFA semakin uzur, kami telah berpindah dan mengubah suai dewan serbaguna kampung ini bagi mengelak sebarang kemalangan,” ujarnya yang ditemui di Kampung Gayang semalam.

Mateli menjelaskan pihaknya turut mengumpulkan sumbangan ikhlas daripada individu, ibu bapa pelajar dan masyarakat kampung selain memanjangkannya kepada beberapa syarikat serta agensi namun masih gagal. toh puan (1)

Justeru, menerima cek RM50,000 daripada Yayasan Nur Jauhar (YNJ) disifatkannya sebagai rahmat pada bulan Ramadan dan merakamkan penghargaan tidak terhingga kepada keprihatinan Toh Puan Norlidah dan yayasan tersebut.

“Setakat ini, hanya Syarikat Petroliam Nasional Berhad (Petronas) sudah memberi komitmen dan kami masih menunggu hitam putih.

“Hasil usaha Ahli Jawatankuasa (AJK) Tertinggi KAFA mencari dana untuk membina Kelas KAFA yang baharu, kita berjaya mendapat sumbangan dan perhatian daripada Pengerusi Yayasan Nur Jauhar.

“Saya mewakili penduduk kampung dan para ibu bapa pelajar mengucapkan jutaan terima kasih dan bersyukur. Bukan mudah mendapatkan sumbangan kerana sudah banyak syarikat dan agensi yang kita ikhtiar untuk mencari dana,” jelasnya yang turut merancang untuk membina kelas KAFA yang baharu di atas tapak asalnya.

Sementara itu, Toh Puan Norlidah serta AJK yayasan berkenaan turut mengadakan Ziarah Kasih Ramadan terhadap lapan buah rumah di Kampung Melalin, Kampung Gayang, Kampung Inanam Laut, Plat SK Gentisan Menggatal, Kepatyan dan Kampung Tengah Kinarut dekat Papar yang menerima sumbangan wang Ihsan serta barangan keperluan dapur.

SF

Tinggalkan komen anda