Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Politeknik KK Menang Dua Emas, Dua Anugerah Khas di Seoul

By 24 Jun 2016Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

  Oleh Siti Mariam Aziz Rashid (Sabah)

KOTA KINABALU, 24 Jun (Malaysiaktif) –? Politeknik Kota Kinabalu mencipta satu lagi sejarah apabila berjaya merangkul dua pingat emas dan dua Anugerah Khas sempena 2nd World Invention Innovation Contest (WiC 2016) yang berlangsung di Seoul, Korea pada Selasa.

Politeknik Kota Kinabalu yang mewakili Malaysia telah mempertaruhkan dua produk inovasi  PIC18FMicrocontroller Trainer ciptaan pensyarahnya, Mohd. Ismi Aswaly dan PLOWBOT- Self-located Mobile Robot for Soil Plowing and Levelling yang dicipta oleh tiga pelajar bidang kejuruteraan elektrikal.

Menurut Ismi, Inovasi ‘PLOWBOT’ berjaya menarik perhatian beberapa pihak pelabur khususnya Dr. Soung-Mo Hong, Presiden World Inventors Association selain turut menerima Anugerah Khas Korea Invention Academy.

“Kita telah menerima maklum balas positif daripada pihak pelabur dari Kanada dan Korea, termasuklah daripada Presiden World Inventors Association sendiri yang berminat dengan produk berkenaan.  Kita harap peluang berkolaborasi dengan para pelabur berkenaan akan menyusul selepas ini,” kata Ismi.1 - PRIZE PRESENTATION (1)

Sementara itu, ketua kumpulan pelajar, Tirinti Anak Segil berkata mereka amat gembira dengan keputusan itu dan tidak menyangka reka cipta mereka boleh mendapat pengiktirafan peringkat dunia.

“Kami amat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak pengurusan Politeknik dan pensyarah kami atas sokongan dan usaha untuk memastikan kami dapat pergi jauh sehingga ke tahap ini,” katanya.

Manakala bagi Inovasi ciptaan Mohd. Ismi turut memenangi pingat emas dan Anugerah Khas World Inventors Association.

Kedua-dua produk reka cipta itu pernah muncul Johan dalam National Innovations on Teaching and Learning in Electrical Engineering (NiCTEE 2015), manakala PLOWBOT mendapat pingat emas dan Anugerah Khas Rekacipta Kejuruteraan sempena International Festival Innovation on Green Technology (i-FINOG 2016) pada April lalu.

Seramai 281 peserta daripada 13 negara seluruh dunia menyertai pertandingan dua hari tersebut.

Program anjuran Asia Invention Association dan Korea Invention News, bertujuan untuk memberi ruang kepada para pelajar, pereka cipta yang inovatif untuk mengetengahkan idea kreatif dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan industri.

SF

 

 

Tinggalkan komen anda