Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomePerak

Kembali Kepada Ajaran Agama – Zahid

By 8 Jun 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh: Aimi Huwaina / Foto: Diyana Zamri (Putrajaya)

KUALA KANGSAR, 8 Jun (Malaysiaaktif) – Naib Presiden Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menasihati pihak yang masih mempolitikkan status calon Barisan Nasional (BN), Datin Mastura Mohd Yazid dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar supaya kembali kepada ajaran agama.

“Saya fikir eloklah kita kembali kepada ajaran agama. Sebab politik dan kedudukan jawatan ini sementara, tetapi ajaran agama itu kekal, eloklah mengikuti ajaran agama itu cara kekal kalau kita benar-benar mahu memperjuangkan soal agama sebagai tapak untuk kita berjuang,” ujar Zahid ketika menghadiri Ramah Mesra bersama Pengundi dan Masyarakat Tempatan di Pusat Daerah Mengundi Ulu Kenas, petang semalam.

Tambah Zahid yang turut memangku jawatan Timbalan Presiden UMNO, isu mengenai calon BN yang tidak boleh muncul di khalayak ramai, telah tidak timbul lagi.

“Ianya telah diperjelaskan oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani dan juga diikuti penjelasan terperinci oleh Menteri Besar Perak… Tidak ada sebab perkara ini untuk dijadikan isu yang berpanjangan kerana calon kita, Datin Mastura Mohd Yazid menghormati hukum fikah yang telah ditentukan dalam idah yang ditetapkan dalam Islam,” jelas Zahid.

Sementara itu, mengulas mengenai penglibatan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Parti Amanah Negara (Amanah) dalam PRK Kuala Kangsar kali ini, Zahid yakin dengan sokongan terhadap BN.

“Kita menerima mana sahaja parti yang menawarkan diri sebagai calon. Bagi kita, sama ada pertandingan dua penjuru, atau tiga penjuru, kalau empat penjuru sekalipun kami rasa selesa kerana ahli-ahli UMNO khususnya dan ahli-ahli Barisan Nasional, insya-Allah tidak akan pernah lari daripada memberikan sokongan kepada calon Barisan Nasional,” tegas Zahid.

Disoal mengenai mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dikatakan akan turut serta berkempen dalam PRK Kuala Kangsar, Zahid mengalukan-alukan kedatangannya.

Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manong, Mohamad Kamil Shafie, ADUN Bukit Chandan, Maslin Sham Razman dan Wan Emir Astar Wan Mohammad Khair-il Anuar serta Wan Iskandar yang mewakili ibu mereka, calon BN, Datin Mastura Mohd Yazid.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda