Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomePerakViral

‘Pengkhianat Negara’ Diperangi Habis-habisan – Hamzah

By 13 Jun 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh: Diyana Zamri / Foto: Muhairul Azman Supian (Putrajaya)

KUALA KANGSAR, 13 Jun (Malaysiaaktif) – Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainuddin semalam menegaskan kementeriannya akan memerangi habis-habisan golongan ‘pengkhianat negara’ dalam isu ketirisan  penyeludupan Gas Petroleum Cecair (LPG).

Hamzah berkata demikian kepada pemberita di sini semalam ketika diminta mengulas mengenai isu sindiket penyelewengan LPG yang semakin berleluasa di negara ini. Menurutnya, dalam isu LPG ini, rakyat Malaysia ini terbahagi kepada dua kategori.

“Pertama, rakyat yang berhemah, rakyat yang bertanggungjawab bersama membuktikan bahawa kita saling bantu-membantu untuk tidak membenarkan sindiket-sindiket melakukan perkara-perkara yang tidak elok seperti menjual barang-barang yang kita berikan subsidi untuk rakyat.

“Kedua, rakyat yang saya panggil sebagai ‘pengkhianat negara’. Mereka ini hanya fikir tentang kepentingan mereka sahaja, untuk mencari keuntungan. Ini kumpulan yang akan kita perangi habis-habisan kerana kumpulan inilah yang menyebabkan persepsi seolah-olah kerajaan tidak melihat perkara ini sebagai satu perkara yang amat penting,” jelas Hamzah.

Tambahnya, pihaknya telah banyak membuat penangkapan sindiket-sindiket ini dan jumlah rampasan yang didapati melebihi RM20juta sejak setahun yang lalu.

“Jadi, ini menunjukkan bahawa bukan kita tidak melakukan pemeriksaan serta penangkapan, tetapi perkara ini masih terjadi kerana mereka masih mahu cari keuntungan yang besar dalam masa yang singkat.

“Saya telah memikirkan satu mekanisme yang baru supaya selepas ini kita tidak berikan peluang kepada sindiket penyelewengan LPG ini mendapat keuntungan yang besar. Saya akan umumkan mekanisme ini setelah ianya diterima oleh majlis kabinet pada mesyuarat tidak lama lagi,” kata Hamzah selepas merasmikan program Himpunan Pengguna.

Baru-baru ini, pihak KPDNKK telah berjaya menumpaskan beberapa sindiket penyelewengan LPG termasuk di Negeri Sembilan, Perak, Pulau Pinang dan Kedah.

Tinggalkan komen anda