Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeSelangorViral

Reflektor Lori Perlu Ikut Piawaian SIRIM Mulai 1 Julai –Liow

By 11 Jun 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Syed Fauzi Syd Mostapa

SUNGAI BESAR, 11 Jun (Malaysiaaktif) – Menteri Pengangkutan (MOT), Datuk Seri Liow Tiong Lai mengumumkan semua reflektor lori perlu mengikut piawaian Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) mulai 1 Julai 2016.

“Kita difahamkan oleh SIRIM, ada sesetengah pihak menggunakan reflektor yang tidak mencapai piawaian SIRIM. Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan PUSPAKOM akan pastikan semua lori berat, perlu memasang reflektor sepatutnya.

“Reflektor penting untuk tengah malam. Kalau lori letak kereta tepi jalan kenderaan lain boleh lihat dari jauh. Lori baharu atau lama perlu melaksanakan pembaharuan ini. Tindakan penguatkuasaan akan diambil mulai 1 Julai dengan denda sebanyak RM300,” katanya

Liow turut akan membentangkan satu memorandum kepada kabinet untuk mendapatkan kelulusan bagi meningkatkan berat muatan bagi semua lori.

“MOT dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersama pengusaha lori dan pegawai Jabatan Kerja Raya (JKJ) telah sepakat dari segi berat muatan bagi semua kenderaan lori akan ditambah kerana jalan raya kita bermutu tinggi.

“Kita akan dapat jimatkan kos membawa barang, kos barangan juga akan turun malah dapat meningkatkan kapasiti lori selain mengurangkan kos sara hidup rakyat.

“Saya akan umumkan maklumat sepenuhnya berapa berat muatan dalam tempoh terdekat selepas kelulusan Kabinet,” ujarnya lagi.

Berkenaan isu langgar lari yang menyebabkan seorang bapa dan anak meninggal dunia di Sekinchan semalam, Liow berpendapat pihak JPJ akan mengambil tindakan tegas.

“Ini ialah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab. Pertama melebihi laju, keduanya langgar lari dan tidak ada peri kemanusiaan. Kita mengkritik tindakan ini.

“JPJ akan mengambil tindaan tegas kepada mana-mana pihak yang melanggar peraturan lalu- lintas. Kajian MIROS menunjukkan lebih 80.3% kemalangan jalan raya disebabkan oleh pemandu.

“Manusia sendiri yang tidak mematuhi peraturan yang menyebabkan kemalangan jalan raya yang meningkat di negara kita. Kita akan ambil tindakan tegas dengan kerjasama pihak polis trafik,” ujar Liow.

Liow ditemui dalam Program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) Daerah Sabak Bernam dan Program Jom JPJ di Sek. Keb Seri Makmur, Parit 1 Sungai Besar tengah hari tadi.

AAS

 

Tinggalkan komen anda