Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomePerakViral

USAS Pemangkin Ekonomi Kuala Kangsar

By 14 Jun 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh: Aimi Huwaina / Foto: M. Azizi (Putrajaya)

KUALA KANGSAR, 14 Jun (Malaysiaaktif) – Penaiktarafan Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) kepada Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) boleh menjadi pemangkin kepada pembangunan kawasan setempat.

Menurut Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, penaiktarafan ini turut menunjukkan peningkatan kualiti pendidikan negara.

“Perkembangan ini ialah perkembangan yang baik untuk universiti-universiti dalam negara kita. Ini perkara biasa sebenarnya untuk universiti kecil, kolej dinaikkan taraf kepada kolej universiti, kemudian dinaikkan taraf kepada universiti penuh. Ini menunjukkan peningkatan kualiti pendidikan tinggi negara keseluruhannya.

“Dan ini akan memberi impak kepada pembangunan kawasan sekitar, kerana bila ada sebuah universiti penuh di kawasan tersebut, biasanya universiti itu menjadi pemangkin kepada pembangunan kawasan tersebut,” kata Idris dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Surat Penubuhan USAS kepada KUISAS di sini, petang tadi.

Tambah Idris, USAS juga mampu memberikan impak jangka masa panjang melalui ilmu pendidikan.

“Ini akan memberi impak yang besar kepada penduduk Kuala Kangsar, dari segi keilmuannya. Ini jangan kita pandang rendah, kerana dengan banyaknya universiti, keilmuannya akan terus meningkat. Ilmu inilah yang akan mendidik dan membangunkan masyarakat masa depan orang Kuala Kangsar, dan juga orang Malaysia keseluruhannya,” katanya lagi.

Sementara itu, Naib Canselor USAS, Tan Sri Prof. Dr. Nordin Kardi  berkata pihaknya tidak berniat untuk menaikkan kadar yuran pada ketika ini.

“Pada masa akan datang, kami mempunyai keinginan untuk menjana pendapatan sendiri supaya dapat mengurangkan bebanan kerajaan daripada menanggung kami berterusan.

“Sebagai permulaan, tentulah kami memerlukan modal permulaan daripada kerajaan pusat dan juga kerajaan negeri sehingga kami boleh berdiri sendiri pada satu masa nanti, seperti mana universiti terkenal di dunia yang boleh berdiri sendiri,” jelas Nordin.
-DZ

Tinggalkan komen anda