Oleh: Zuraidah Ahmad & Jeffren Malaning (Sabah)
BEAUFORT, 29 Jul (Malaysiaktif) –? Menjadi ahli sukarelawan dan melakukan kerja-kerja kebajikan secara percuma bukanlah pilihan popular dan kegemaran masyarakat, apatah lagi golongan remaja.
Namun, berbeza dengan pelajar Pusat Kemahiran Giat MARA Beaufort, Mohd Zairul Mohd Said, 20, yang berasal dari Kg Lubak dan kini sedang mengikuti Kursus Pendawaian Elektrik Sesi 1.
Dia nekad menyertai pasukan sukarelawan bersama lebih 30 rakannya, melibatkan diri dengan program gotong-royong membersihkan kawasan sekitar Sekolah Agama Islam Beaufort.
“Tanpa paksaan, saya sendiri menawarkan diri sebagai sukarelawan dan hari ini saya berbangga kerana terlibat dalam program membersihkan kawasan Sekolah Agama Islam Beaufort.
“Tanpa bayaran pun, saya ikhlas menyumbangkan tenaga demi membuat kerja-kerja amal sebagai usaha mendapat keredaan dan pahala dengan membantu orang lain.
“Sedikit pun saya tidak rasa malu, malah berbangga sebab saya mampu membuktikan golongan remaja juga sebenarnya mampu melakukan semua perkara yang positif dan berguna untuk negara,” ujarnya sambil mengesat peluh di dahi.
Sementara itu rakannya, Azizan Fikri Ahmad Ali, 19, dari Kg Betanduk juga dilihat begitu bertenaga memotong rumput di halaman sekolah berkenaan walaupun matahari semakin terik.
Ditanya alasan menjadi sukarelawan, secara ringkas dia menjelaskan,dia yang merupakananak ketiga daripada empat adik beradik, tiga lelaki dan adik bongsunya ialah perempuan sudah biasa dengan kerja-kerja rumah.
“Jadi, kerja-kerja membersihkan rumput, mengecat bangunan, menyapu lantai dan sebagainya ialah perkara biasa bagi saya. Mudah saja kerana saya selalu membantu ibu dan bapa di rumah.
“Remaja sering dikaitkan dengan kegiatan negatif seperti jenayah, penyalahgunaan dadah, masalah disiplin dan banyak lagi.
“Tetapi hari ini saya ingin menunjukkan kepada dunia bahawa tidak semua remaja suka buat hal buruk, malah tenaga kami mampu disalurkan kepada aktiviti yang berfaedah,” katanya sambil memotong rumput.
Mereka merupakan antara sukarelawan yang ditemui media pada Program Gotong-Royong Mengecat dan Membersihkan sekolah berkenaan yang disempurnakan Majlis Perasmiannya oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun, pagi Jumaat.
Azizah yang juga Ahli Parlimen Beaufort berkata aktiviti gotong-royong itu turut dijayakan lebih 50 ahli sukarelawan terdiri daripada pelajar Kolej Komuniti dan Sukarelawan Parlimen Beaufort (SUPERB), selain pelajar Giat MARA.
Aktiviti seumpama itu, katanya, diharap mampu menyuntik motivasi kepada semua anggota masyarakat khususnya generasi muda tentang penerapan nilai-nilai kemanusiaan, kesejahteraan dan keamanan tanpa mengira fahaman agama, bangsa dan status sosial.
SF