Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHomeViral

Keamanan Tanggungjawab Bersama – Ahmad Zahid

By 28 Julai 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan / Foto:  Mohd Baharruddin Mohamad (Kuching)

KUCHING, 28 Jul (Malaysiaktif) – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyeru kepada semua masyarakat agar tidak mengharap kepada pihak keselamatan seperti Polis dan Tentera sahaja untuk menjaga keamanan negara, kerjasama semua masyarakat juga penting dalam membenteras musuh dan keselamatan negara.

“Kawalan keselamatan negara berada dalam peringkat optimum. Walau bagaimanapun, semua badan penguat kuasa perlu berada dalam kesiapsiagaan untuk menghadapi apa-apa juga insiden terutamanya dalam kejadian terbaharu kes tembak di Setapak, semalam.”

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Kementerian Dalam Negeri (KDN) Negeri Sarawak di Kompleks Islam Sarawak, Kuching, pagi tadi.

“Pada dasarnya, kadar jenayah telah turun sebanyak 30 peratus sepanjang 2015 berbanding tahun sebelumnya. Namun, persepsi rakyat terhadap kebolehpercayaan terhadap polis dalam membanteras jenayah masih tidak berubah.

“Op Cantas masih diteruskan oleh PDRM dalam membanteraskan musuh-musuh yang masih berleluasa dan diberikan nafas baharu; Op Cantas 2.0. untuk membanteras kegiatan kongsi gelap dan jenayah membabitkan senjata api di negara ini,” ujar Ahmad Zahid.

Tambahnya, KDN telah mencadangkan kepada kerajaan agar membaiki pagar di sepanjang sempadan utara semenanjung (kira-kira 7,900 kilometer) yang dibangunkan sejak 90-an lagi.

“Soal keselamatan negara harus diutamakan di setiap pelosok negara agar negara kita tidak dicerobohi sewenangnya,” tegas Ahmad Zahid.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menggalakkan majlis seperti ini diteruskan kerana amat penting dalam menjalin hubungan mesra dan baik antara satu sama lain di samping saling menghormati sesama manusia dan agama lain.

TPM

Antara anak-anak yatim yang diraikan.

 

“Kita tidak mahu rakyat kita dalam kemusnahan dalam agama dan diganggu-gugat oleh anasir jahat. Kita mahu negara kita aman dan damai sesama agama dan agama lain.”

Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Masir Kujat turut berkata dasar jalinan perpaduan masyarakat majmuk di negara ini membolehkan kita meraikan kepelbagaian bangsa, budaya dan agama.

“Kerjasama yang erat dan komitmen padu semua cukup bermakna. Kita dapat meraikan sahabat sekerja kita yang beragama Islam dan merupakan satu cara bagi memupuk sikap saling memahami dan bertolak ansur sesama kita.

“Saya berharap jalinan seperti ini dapat dikekalkan supaya semangat muhibah dan permuafakatan inilah yang akan menjadi tunjang kekuatan kita untuk terus kekal hidup aman dan makmur,” ujar Masir.

Pada majlis yang dihadiri kira-kira 2,000 orang itu, Ahmad Zahid turut menyampaikan sumbangan raya kepada 73 orang anak yatim daripada Pertubuhan Kebajikan dan Pendidikan Nur Murni (PKPNM), Kuching.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda