Skip to main content
HomeViral

Jumlah mangsa banjir di Kedah berkurangan

By 20 Julai 2016Tiada komen1 minit bacaan
Foto: The Star

ALOR SETAR 20 Julai – Jumlah mangsa banjir di empat daerah di negeri ini berkurangan kepada 325 orang daripada 83 keluarga setakat pukul 8 pagi tadi berbanding 480 orang petang semalam.

Pegawai Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Mejar (PA) Imran Azemi berkata, mangsa masih ditempatkan di tujuh pusat pemindahan di Yan, Kuala Muda, Baling dan Pendang.

Beliau berkata, satu pusat pemindahan baru turut dibuka iaitu di Dewan Kompleks Sukan Tanah Merah, Pendang yang dibuka kira-kira pukul 5 petang semalam melibatkan 62 orang dari 15 keluarga dari lima kampung di Mukim Ayer Puteh.

Katanya, antara pusat pemindahan yang telah ditutup setakat ini ialah di Surau kampung Lubuk Boi (Daerah Yan), Dewan KEDA dan Surau Kampung Tepi Laut (Daerah Kuala Muda) serta Surau Kampung Batu 5, Surau Kampung Sungai Rotan dan Surau Kampung Guar Stesen dalam Daerah Gurun.

“Turut ditutup ialah pusat pemindahan Kampung Seputeh dan Surau Kampung Air Tawar dalam Daerah Baling,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Imran berkata, setakat ini lima pusat pemindahan masih dibuka di Yan yang menempatkan 231 orang dari 61 keluarga di Surau Teroi Bukit (100), Masjid Titi Teras (38), Surau Nurul Huda Batu 18 (10), Surau Kampung Batu 22 (65) dan Surau Kampung Setar (18).

Di Baling, satu pusat pemindahan masih dibuka di Daerah yang menempatkan 32 orang dari tujuh keluarga, katanya.

 

– BERNAMA

Tinggalkan komen anda