Skip to main content
Berita TempatanSabah

Penetapan Tarikh Raya Masih Guna Kaedah Rukyah dan Hisab – Bungsu

By 5 Julai 2016Tiada komen2 minit bacaan

Oleh: Zuraidah Ahmad, Jeffren Malaning & Volintine S.Jiloh (Sabah)

KOTA KINABALU, 5 Julai (Malaysiaktif) –? Belakangan ini, di Malaysia penetapan tarikh Hari Raya Aidilfitri dilihat seolah-olah hanya berpandukan kalendar.

Namun, Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Sahibus Samaha Ustaz Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar yang ditemui ketika menghadiri Majlis Kenduri Sempena Melihat Anak Bulan Syawal di Istana Negeri, pada Isnin, menafikan hal tersebut.

Menurutnya, Majlis Raja-Raja telah mempersetujui cara menetapkan tarikh Hari Raya Aidilfitri ialah berdasarkan rukyah (melihat anak bulan) dan hisab (pengiraan secara Matematik dan astronomi).

“Kita guna Kaedah Ru’yah (melihat anak bulan) dan Hisab (kiraan falak atau astronomi).

“Kalendar itu dikira sebagai mengikut Hisab sahaja. Namun, kedua-duanya ialah sunnah Nabi Muhammad SAW.

“Walaupun biasanya Hari Raya mengikut kalendar namun kebetulan saja kerana anak bulan tidak kelihatan.

“Perkara ini banyak dipengaruhi keadaan cuaca atau faktor-faktor lain. Bagaimanapun, di negara ini kita masih mengadakan Majlis Ru’yah untuk dapatkan pahala sunnah,” ujarnya.

????????????????????????????????????

Majlis tersebut turut dihadiri Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Dr Haji Juhar Datuk Haji Mahiruddin.

Jelasnya di Sabah, Majlis Rukyah Hilal Syawal dan Ramadan diadakan di Balai Cerap Al Beruni dekat Putatan dan merupakan balai cerap pertama membuat cerapan berdasarkan pergerakan matahari.

Berkenaan hasil cerapan lewat petang semalam, Bungsu berkata anak bulan tidak kelihatan mengikut syarat-syarat ditetapkan dan juga didorong faktor cuaca.

“Semalam ru’yah anak bulan tidak nampak sebab belum lahir (negatif dua jam). Bulan terbenam lebih dahulu berbanding matahari,” katanya.

Tambahnya, keputusan cerapan akan dipersetujui dan disahkan oleh Jawatankuasa terlibat sebelum dihantar kepada Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja menerusi panggilan telefon.

“Setelah mengambil kira keputusan dari semua balai cerap di 14 buah negeri, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan mengisytiharkan pada malam itu juga tarikh Hari Raya melalui semua saluran radio dan televisyen,” jelasnya.

SF

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda