Oleh : Genda Sating / Foto : Cassidy Lisut (Sarawak)
KUCHING, 29 Jul (Malaysiaaktif) -Gelanggang gimnastik yang dibuka semalam telah membuka laluan kepada Selangor untuk membawa pingat emas pertama dalam acara Gimnastik Artistik Kategori Lelaki Berkumpulan yang diadakan semalam sempena Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XVIII Sarawak 2016 di Stadium Perpaduan, Petra Jaya, Kuching.
Pasukan Selangor yang terdiri daripada Benjamin Cheong Kok Kong, Chau Jern Rong, Chim Ai Di, Low Jun Hao, Tan Fu Jie dan Thin Min kai berjaya mengumpul 298.850 mata.
Pasukan Pulau Pinang dan Terengganu berada pada kedudukan seri dengan mendapat pingat perak apabila masing-masing berjaya mendapat markah terkumpul, 287.950 mata.
Bagi acara Gimnastik Artistik Kategori Lelaki Individu pula, pingat emas telah dimenangi oleh Jeremiah Loo Phay Xing dari Pulau Pinang dengan catatan 81.650 mata.
Manakala pingat perak telah dimenangi oleh Azroy Amierol Jaafar dari Pahang dengan catatan mata 77.450 mata sementara pingat gangsa telah dimenangi oleh Pasukan Selangor, Low Jun Hao dengan catatan mata, 77.000 mata.
Pada edisi kali ini gimnastik artistik mempertandingkan sebanyak enam acara iaitu senam lantai, kekuda berpelana, gelung, melombol, palang sejajar dan palang tunggal.
Pada hari ini gimnastik artistik bagi kategori wanita pula dipertandingkan. Gimnastik telah mula berlangsung sejak semalam dan bakal berakhir pada hari esok.
SF