Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Kemenangan Olivia Gambaran Sebenar “Perpaduan Dalam Kepelbagaian”

By 29 Julai 2016Tiada komen2 minit bacaan

  Oleh Mohd Baharruddin Mohamad / Foto: Razali Eli (Sarawak)

KUCHING, 29 Jul (Malaysiaktif) – Kemenangan pesilat Sarawak Olivia Chong , 19, satu-satunya peserta bukan Melayu yang berjaya mengenggam emas dalam acara Silat Olahraga Sukan Malaysia (SUKMA) XVIII kategori Putri F hari ini telah menggambarkan tema SUKMA kali ini iaitu “Perpaduan Dalam Kepelbagaian”.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Tertutup Samarahan di sini petang tadi Olivia mengetepikan cabaran Rosenidah Mohamad dari Sabah yang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak manakala Natasya Anu Hanifah dari Perak dan Fatin Aina Syahirah Mohd Rafee dari Selangor pula memungut gangsa.

Pemenang pingat bagi kategori Putri F

Pemenang pingat bagi kategori Putri F

Olivia yang berbangsa Cina menjadi satu-satunya pemenang pingat emas acara silat yang bukan berbangsa Melayu.

Dia yang berasal dari Kapit merupakan anak bongsu daripada tiga adik-beradik berkata bahawa walaupun berlainan bangsa dia begitu yakin untuk menjuarai kategori tersebut

IMG_3644

Pemenang emas, Olivia Chong

“Di Sarawak, tidak kira Melayu atau tidak, kami semua berpeluang untuk menyertai apa-apa juga jenis sukan. Jurulatih juga banyak membantu dari segi teknik sekali gus menambah minat saya.

“Disiplin dalam latihan sangat penting setiap kali menjalani latihan sebelum SUKMA berlangsung. Atas kejayaan ini, saya memang rasa gembira kerana dapat merangkul pingat emas dan saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada jurulatih yang tidak jemu melatih pasukan Sarawak.

“Saya berharap semoga pasukan pencak silat yang akan mewakili SUKMA akan datang semoga lebih hebat dan menggapai banyak lagi kejayaan untuk mengharumkan nama baik Sarawak,” ujarnya yang merupakan penuntut tingkatan enam di Sekolah Menengah Kapit.

Sementara itu, Jurulatih Muzik Silat dari, Peter Taki, 45, memberitahu bahawa Olivia Chong ialah peserta yang paling matang dan banyak pengalaman dalam persilatan kerana sebelum ini dia pernah mewakili Sarawak bagi SUKMA 2014.

“Keyakinan diri dan semangat juang yang tinggi semasa berlawan juga membawa kejayaan Olivia pada perlawanan petang tadi,” ujarnya yang merupakan guru di Sekolah Menengah St. Joseph Kuching.

Kemenangan Olivia menjadikan jumlah keseluruhan pingat yang diraih oleh pasukan Sarawak bagi semua kategori untuk kejuaraan pencak silat SUKMA kali ini sebanyak 15 pingat iaitu enam pingat emas, enam pingat perak dan tiga pingat gangsa.

Gelanggang silat menutup tirainya hari ini apabila bermula sejak 21 Julai lalu.

SF

 

Tinggalkan komen anda