Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeSelangorViral

GRAPHIST Gabung Dua Sifu, 13 Bekas Pelajar Grafik

By 13 Ogos 2016Tiada komen3 minit bacaan

 Oleh : Siti Rasidah, Jaitripta Kaur dan Mohamad Zairin (Shah Alam)

SHAH ALAM, 12 Ogos (Malaysiaaktif) – Dua sifu bersama 13 anak didiknya bergabung dalam Pameran Seni GRAPHIST – Graphic Turns Artist yang sedang berlangsung sejak 18 Julai hingga 30 Ogos 2016 di Galeri Shah Alam, Selangor.

Dua sifu tersebut ialah ikon ‘Burung Batik’ Prof Madya Hashim Hassan dan ikon ‘Foto-Montaj’ Prof Datuk Raja Zahabuddin Raja Yaacob bersama 13 anak didik mereka yang merupakan alumni Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR), Universiti Teknologi MARA (UiTM). Setiap seni reka yang dipamerkan menjanjikan kelainan dari segi idea, konsep, media dan pendekatan naluri luahan rasa pereka.

IMG-20160813-WA0003

Ikon ‘Foto-Montaj’, Prof Datuk Raja Zahabuddin Raja Yaacob

Menurut Raja yang juga pencetus ilham kepada pameran ini, GRAPHIST menggabungkan dirinya dan Hashim bersama 13 anak didik yang secara kebetulan semuanya merupakan graduan seni reka grafik UiTM hasil cetusan ilham yang menjadi oleh Pengarah UiTM, Tan Sri Datuk Seri Utama Arshad Ayub.

“Saya percaya bahawa pameran ini akan menjadi pencetus idea kepada ramai lagi karyawan seni graduan seni lukis dan seni reka serta seni reka grafik,” ujarnya yang ditemui petang semalam.

Sementara itu, salah seorang karyawan yang menyertai pameran kali ini, Tengku Asri Tengku Abdullah, berkata dia telah mempamerkan sebanyak tiga hasil lukisan seninya, yang bermotifkan Istana Jaha, Kelantan dan juga bermotifkan keunikan seni tarian.

Tengku Asri Tengku Abdullah

“Setelah bersara daripada bidang penyiaran, saya mengambil masa selama kira-kira dua bulan untuk menghasilkan setiap karya. Kepuasan tercapai apabila hasil kreativiti kita siap sepenuhnya,” tambahnya yang telah menyiapkan 40 karya bagi pameran solonya sebelum ini.

Bagi seorang lagi karyawan, Fauzi AB. Rahim, dia telah memilih konsep bermotifkan flora dan fauna.

“Ini hasil daripada pemerhatian saya sendiri, di Hutan Belum, Temenggor, Perak. Saya nak mengetengahkan konsep “Less is More”, yang hanya membawa idea atau pun satu subjektif dalam lukisan,” ujarnya yang pernah memenangi Hadiah Utama Forest Research Institute Malaysia (FRIM): National Heritage 2014.

IMG-20160813-WA0005

Karya Belum oleh Fauzi AB. Rahim

Dalam pada itu, pensyarah yang juga karyawan Che Ahmad Azhar yang ditemui berkata karyanya semakin mendapat tempat setelah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dalam akaun twitter pada 3.27 petang, 14 Ogos 2013 menyebut, “Che’ Ahmad menghasilkan karya fotografi jalanan yang cantik. Karyanya dipamerkan dalam Blog The New York Times”.

“Sejak itu makin ramai yang mula membuka mata. Ketika itu saya mengetengahkan suasana di Kuala Lumpur berlatarbelakangkan seni fotografi hitam putih. Karya ini berjaya dimasukkan dalam Invisible Photographer Asia (IPA) dan LENS Blog The New York Times,” ujarnya yang telah 18 tahun bergelar pensyarah komunikasi visual dan fotografi.

Che Ahmad Azhar

Che Ahmad Azhar

Selain itu, karyawan seni tanah air yang berjaya menempa nama di peringkat kebangsaan dan antarabangsa seperti Ahmad Zakii Anwar dan Zaim Durulaman turut terlibat menjayakan pameran ini.

Selain pameran GRAPHIST, pameran logo Hari Kebangsaan juga akan diadakan di Galeri 2, Galeri Shah Alam yang akan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kementerian Komunikasi Dan Multimedia Malaysia, Datuk Jailani Johari, Selasa depan.

-DK/SF

Tinggalkan komen anda