Skip to main content
Berita TempatanHomeMelakaViral

Crystal Beads Arts: Hasil Seni Rosli Mohalim

By 8 Ogos 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Fauzrina Hj Bulka (Melaka)

MELAKA, 8 Ogos (Malaysiaaktif) – Memulakan kerjaya seni pada 1979 sebagai gitaris kumpulan rock terkenal Sweet Charity, Rosli Dollah atau lebih dikenali sebagai Rosli Mohalim kini turut dikenali sebagai satu-satunya usahawan Crystal Beads Arts di Malaysia.

Artis lagenda lulusan Nanyang Academy of Fine Arts (NAFA) itu telah empat tahun terlibat dalam dunia perniagaan dan menjadikan kediamannya di Cheras sebagai bengkel menghasilkan seni halus manik kristal.

“Saya sukakan barangan ‘bling-bling’, dan ketika aktif buat persembahan dulu pun banyak barangan saya seperti baju dan gitar yang saya letakkan manik,” ujar Rosli.

2

 

Tambahnya, hasil krafnya belum lagi dijual di pasaran terbuka dan InnoCraft Melaka merupakan satu-satunya tapak galeri yang menempatkan hasil tangannya. Jadi, dia turut bercadang untuk menetap di Melaka.

“Di usia 62 tahun ini, cabaran yang saya tempuhi dalam perniagaan ini ialah tumpuan yang lebih dan perlu teliti ketika menghasilkan sesuatu projek kerana mata akan mudah letih,” jelasnya.

3

 

Namun, isterinya sentiasa di sisi membantu untuk menyiapkan tempahan yang adakalanya memerlukan masa yang lama untuk disiapkan kerana manik tersebut perlu dipastikan saiz dan warna yang betul serta mengikut warna lukisan yang diminta oleh pelanggan.

“Saya pernah menghabiskan masa selama lebih dua bulan untuk menyiapkan tempahan berupa potret yang menggunakan sebanyak 30,000 biji manik kristal dan segalanya dilakukan secara manual,” jelas Rosli.

4Tambahnya lagi, lebih 100 karya telah dihasilkan sepanjang bergiat dalam bidang ini dan hasil kraf tersebut dijual dalam lingkungan harga RM250 ke atas.

“Saya pernah menerima tempahan potret daripada orang kenamaan yang bernilai RM35,000 kerana kerja yang rumit dan saiz potret yang agak besar. Itu merupakan satu penghargaan untuk karya saya,” ujarnya kepada Malaysiaaktif.

Dalam perkembangan yang lain, Rosli bakal melancarkan buku biografinya berjudul ‘Perjalanan Muzik Rock Rosli Mohalim’ di Singapura dan Malaysia pada bulan Oktober ini.

Buku biografi bergambar itu berkisar tentang kronologi perjalanan muzik rock dirinya, yang memaparkan kisah-kisah Rosli sebelum, semasa dan selepas pembabitan dalam kumpulan Sweet Charity.

Berkonsepkan sebuah buku dwi-bahasa, iaitu Inggeris dan Melayu, buku itu ditulis oleh seorang pengkaji muzik di Nusantara, Azlan Mohamed Said.

 

 

-DZ

Tinggalkan komen anda