Oleh: M Zakry Chan
MELAKA, 15 Ogos (Malaysiaaktif) – Bulan Ogos sememangya sinonim dengan bulan kebangsaan. Bagi meningkatkan lagi semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat terutamanya para pelajar, sebuah Pertandingan Debat Perpaduan Kelab 1Malaysia dan Kelab Rukun Negara Peringkat Sekolah Menengah Daerah Melaka Tengah 2016.
Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Haji Abdul Malek berjaya dinobatkan sebagai sebagai juara peringkat daerah setelah lebih tiga jam berdebat dengan SMK Paya Rumput bertajuk ‘Institusi Sekolah Pemangkin Utama Pelaksanaan Prinsip-Prinsip Rukun Negara’.
Membawa peranan sebagai pembangkang, kemenangan SMK Tun Haji Abdul Malek membolehkan pasukan mereka membawa pulang wang tunai RM500, trofi serta sijil penyertaan pada pertandingan yang diadakan di Dewan SMK Tun Haji Abdul Malek di Cheng pada Sabtu.
Program anjuran bersama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Jabatan Penerangan, Jabatan Pendidikan, SMK Tun Haji Abdul Malek dan Komuniti Rukun Tetangga Taman Bertam Jaya ini bertujuan sebagai penggalak interaksi sosial masyarakat untuk mengukuhkan perpaduan dan semangat cintakan tanah air.
Juri petandingan, Mohd Noor Samion, 54, berkata pertandingan ini bukan sahaja memperlihatkan kematangan pelajar dalam berdebat namun lebih pentingnya dapat mencungkil kebolehan mereka sebagai pemimpin masa hadapan negara.
Ibu bapa yang hadir juga amat teruja dengan program julung kali dianjurkan ini. Seorang bapa yang ditemui, Yahya Abd Hadi, 55, berkata program ini amat baik dalam membuka minda pelajar-pelajar dalam mengukuhkan lagi perpaduan antara kaum.
“Saya akan syorkan dalam mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah untuk program ini diadakan setiap tahun dengan kerjasama pelbagai jabatan,” ujar Yahya.
-DZ