Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPulau PinangViral

Gantungan Payung 1 Malaysia Semarakkan Bulan Kebangsaan

By 17 Ogos 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh: Mohd Zahari Zakaria (Permatang Pauh)

PERMATANG PAUH, 17 Ogos (Malaysiaaktif) – Semangat patriotisme sempena sambutan Bulan Kebangsaan boleh ditunjukkan dalam pelbagai bentuk melalui aktiviti-aktiviti seperti memasang bendera Malaysia dan deklamasi sajak kemerdekaan.

Tahun ini, Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan Sekolah Kebangsaan Seri Impian, Permatang Pauh, membawa kelainan dengan menggantung payung 1Malaysia yang diperolehi daripada program Wakaf Payung 1Malaysia, sumbangan ibu bapa pelajar-pelajar sekolah, di perkarangan Dataran Perhimpunan.

Guru sekolah, Yong Jura, berkata, persiapan majlis yang telah mengambil masa selama tiga hari ini telah mendapat kerjasama daripada guru dan pelajar.

Tambah Yong, dia berharap program-program seperti ini dapat menimbulkan rasa cinta akan tanah air dan semangat untuk mengibarkan Jalur Gemilang.

Menurut seorang murid, Najwa Humaira Mohd Arif, 11, dia dan rakan-rakan sekelasnya tidak sabar untuk meraikan kedatangan 31 Ogos kerana dapat melihat pelbagai acara menarik yang bakal diadakan seperti perbarisan Hari Merdeka.

“Program pada hari ini amat mengujakan dan menyeronokkan kerana pelbagai aktiviti yang kami lakukan untuk menyemarakkan bulan merdeka,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Sekolah Kebangsaan Guar Perahu (SKGP) turut menganjurkan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan 2016 bagi menyemarakkan semangat patriotisme.

Menurut Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru SKGP, Saiful Razhar, semangat cintakan tanah air sewajarnya dipupuk dari awal usia.

“Inisiatif yang dibuat oleh pihak sekolah adalah baik dalam memastikan anak-anak kecil faham dan mengerti perjuangan tokoh-tokoh kemerdekaan dalam menuntut kemerdekaan negara daripada pihak British.

“Sebagai memupuk dan mewujudkan perasaan sayangkan Malaysia marilah sama-sama kita kibarkan Jalur Gemilang,” tambahnya.

-AH-

Tinggalkan komen anda