Skip to main content
Berita TempatanKuala LumpurViralWilayah Persekutuan

Grafiti #sehatisejiwa Gelorakan Semangat Kanak-Kanak Disleksia

By 9 Ogos 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh: Fauziah Hussain, Dila Khamde & Aimi Huwaina

KUALA LUMPUR, 9 Ogos (Malaysiaaktif) – Bagi menggelorakan semangat patriotik sempena sambutan Bulan Kebangsaan, kreativiti kanak-kanak Disleksia hari ini diserlahkan melalui lukisan Grafiti #sehatisejiwa di Pusat Disleksia Malaysia, di sini.

Menurut Ketua Pengarah Penerangan, Datuk Ibrahim Abdul Rahman, walaupun mempunyai masalah seperti membaca, menulis dan mengira, namun kanak-kanak Disleksia didapati lebih handal dalam kemahiran lain.

WhatsApp Image 2016-08-09 at 4.34.38 PM

 

“Kanak-kanak Disleksia ini mempunyai kemahiran menggunakan tangan, cukup mahir dari segi kraf, kita lihat mereka sungguh teruja untuk melukis grafiti.

“Dengan adanya program ini, kita berhasrat dapat menggelorakan semangat patriotik di semua lapisan masyarakat. Saya percaya dalam diri kita ada semangat patriotik, semangat sayang kepada negara, semangat ingin memajukan diri,” katanya kepada pemberita.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Disleksia Malaysia, Sariah Amirin berkata, program ini merupakan satu pendedahan kepada anak-anak Disleksia tentang erti kemerdekaan.

WhatsApp Image 2016-08-09 at 4.26.32 PM

 

“Program ini sememangnya baik kerana murid-murid ini jarang diberi peluang sebegini kerana kerap kali dianggap bahawa mereka serba kekurangan, disebabkan oleh cara mereka berfikir dan belajar adalah berlainan, pandangan ini yang harus kita lupuskan,” katanya.

Tambah Sariah, program ini juga dapat memupuk keyakinan diri kanak-kanak Disleksia, di samping memberi kesedaran bahawa mereka adalah sebahagian daripada rakyat Malaysia yang produktif dan menerima hak yang sama.

WhatsApp Image 2016-08-09 at 4.34.55 PM

 

Bertemakan Sehati Sejiwa, program anjuran Jabatan Penerangan Malaysia dengan kerjasama Persatuan Disleksia Malaysia ini telah melibatkan kira-kira 100 peserta.

Lukisan grafiti berkonsepkan #sehatisejiwa yang berukuran 25 kaki lebar x 12 kaki tinggi ini turut melibatkan pengamal media massa yang melukis logo agensi masing-masing sebagai tanda sokongan.

WhatsApp Image 2016-08-09 at 4.34.44 PM

 

-DK/AH/AAS

Tinggalkan komen anda