Skip to main content
Berita TempatanPahang

“Haiwan Liar Dijadikan Ubat, Hanya Persepsi,” Dr. Haiwan

By 24 Ogos 2016Oktober 5th, 2016Tiada komen8 minit bacaan

  Oleh Syed Fauzi Syd Mostapa / Foto Edward Yeoh 

GAMBANG, 24 Ogos (Malaysiaaktif) – “Apabila saya berada dekat dengan hidupan liar, saya berasa sangat sedih dengan pelbagai isu yang berlaku oleh sebab tiada perancangan yang sistematik. Kes ini melibatkan kepupusan hidupan liar di Semenanjung Malaysia seperti badak sumbu dan harimau Malaysia yang hampir pupus disebabkan permintaan pedagang haram dari luar negara.

“Setiap bahagian binatang liar ini pula dikatakan boleh dijadikan ubat. Apabila ditanya pendapat saya sebagai pakar perubatan haiwan, semua itu tidak bernilai pun, hanya persepsi masyarakat semata-mata.”

Demikian kata Doktor Haiwan di Bukit Gambang Safari Park, Dr. Adznan Abdul Karim yang ditemui oleh Malaysiaaktif ketika Bukit Gambang Resort City (BGRC) mengadakan Safari Treasure Hunt Jun lepas.

Pegawai Veterinar Bukit Gambang Safari Park, Dr. Adznan Abdul Karim.

Pegawai Veterinar Bukit Gambang Safari Park, Dr. Adznan Abdul Karim.

Tambahnya, jika betul, pasti kami di zoo ini pun tidak perlu bersusah payah bekerja. Ini hanyalah lebih kepada persepsi masyarakat tempatan dan luar negara yang mahukan setiap bahagian binatang liar ini yang kononnya boleh dijadikan ubat.

“Bahagian penting atau tidak penting bagi setiap hidupan liar ini yang dikatakan boleh dijadikan ubat mahu pun perhiasan inilah yang menyebabkan kepupusan terjadi di seluruh negara.

“Harimau Malaya misalnya dahulu ada 600 ekor, sekarang tinggal 250 sahaja hanya dalam masa 10 tahun. Haiwan malang ini sama ada ditangkap hidup atau mati oleh pedagang mahu pun pemburu haram yang berada di sini,” ujarnya yang dahulu merupakan doktor haiwan di Jabatan Kerajaan yang pernah dipinjamkan di Jabatan Perhilitan.

Zoo di Malaysia

Sementara itu, Adznan menambah pada 2010, Malaysia mempunyai sebanyak 44 buah zoo. Sebagai petugas khas yang menjalankan kerja audit bagi zoo di Semenanjung sahaja ketika itu, hanya 10 hingga 12 buah zoo sahaja yang berkeupayaan dari segi kewangan dan kepakaran untuk mengendalikan perniagaan zoo.

Safari Park_Bird Aviary_s

Reaksi pengunjung di Bird Aviary, Safari Park BGRC

“Di situ, kita (pihak Jabatan Perhilitan) kena mula untuk mengetepikan zoo yang tidak berada pada tahap yang selamat untuk mengelakkan isu seperti penganiayaan haiwan. Bidang pertanian serta pembalakan haram yang tidak dirancang juga akan menyebabkan kemusnahan habitat asal haiwan.

“Pertanian dan pembalakan haram yang tidak dirancang pula akan merosakkan habitat asal haiwan yang ada. Pembalakan haram akan buat semua binatang tiada ruang untuk menyelamatkan diri. Kita sangat tidak bersetuju dengan pembalakan haram. Bukan sahaja balak disapu malah binatang liar pun habis disapu. Kesannya, flora dan fauna akan terhapus dalam sekelip mata oleh tangan-tangan manusia yang tamak haloba.

“Saya mohon jika boleh kita bekerjasama dengan semua pihak. Hentikan semua permintaan ubat-ubatan yang sumbernya daripada hidupan liar. Apabila tiada permintaaan pastinya pembunuhan hidupan liar berkurangan. Kesannya, spesis yang sedia ada pasti akan lebih banyak kuantitinya,” ujarnya yang turut mengetuai Discovery Centre BGRC yang berkongsi maklumat bersama pengunjung.

Wajarkah Haiwan Ditunggang?

Tatkala melihat haiwan-haiwan tertentu seperti gajah, kuda dan unta yang sering ditunggang, ada kedengaran suara-suara sumbang yang menggambarkan rasa simpati dan kasihan.

Menurut Adznan, sebenarnya untuk tujuan kesihatan, haiwan domestik memang perlu ditunggang tetapi bukan untuk hidupan liar.

“Seperti menunggang gajah misalnya ada kebaikan dan ada juga keburukan. Sesetengah pendapat menyatakan sangat kejam. Pada saya, kita perlu tahu fungsi dan juga keperluan haiwan terlebih dahulu. Haiwan perlukan kebebasan, jangan paksa mereka untuk buat sesuatu di luar kemampuan mereka kerana mereka juga ada perasaan.

“Hidupan liar ni ada angin, hari ni baik esok tak itu biasa macam manusia. Kita akan dapat maklumat awal daripada penjaga haiwan liar setiap hari. Mereka ini akan dapat lihat perubahan angin haiwan kemudian akan sampaikan kepada kami. Kita akan buat keputusan untuk melepaskan mereka atau tidak. Jika didapati tidak terkawal, kita akan simpan mereka dalam kurungan.

Tambahnya, hidupan liar juga seperti manusia ada perubahan hormon, kita akan pujuk dengan makanan istimewa jadi dia tahu kita sayang. Itu cara di sebalik tabir.

“Haiwan domestik yang dibenarkan untuk kita tunggang adalah seperti kuda. Tetapi bukan untuk haiwan liar. Saya menentangnya. Kuda dan gajah mewakili dua kumpulan yang berbeza. Kami di sini juga tidak membenarkan aktiviti menunggang gajah dijalankan,” jelasnya.

Dalam pada itu, menurut penjaga kuda, Mohd Ashashakurul Muhammad, 24, kuda memang perlu ditunggang untuk memastikannya terus sihat.

penjaga kuda, Mohd Ashashakurul Muhammad

Kita patut kasihankan kuda jika tidak ditunggang-Mohd Ashashakurul Muhammad

“Kuda ni tak boleh tak naik dia. Kuda ni tak boleh seperti orang Pantai Timur cakap, sekong dalam kandang. Tak boleh hanya dibiar dalam kandang. Salah tu.

“Jika dibiar, bukan sahaja kaki dia mudah bengkak malah tendon dia pun rosak. Kuda ni memang nak dilepaskan sebagai latihan dan senaman setiap hari. Kalau tidak dia akan demam.

“Jadi tak boleh nak kasihankan dia jika ditunggang. Kita patut kasihankan dia jika tidak ditunggang. Jika sakit, lagi kita susah hati. Jadi bila dia sihat, kita pun rasa seronok,” ujar Asha yang telah menceburi bidang ini sejak berumur lima tahun oleh sebab ayahnya juga merupakan seorang penjaga kuda di Kelantan.

Kerjasama Kerajaan

Adznan turut menjelaskan BGRC sentiasa mendapat kerjasama yang sangat baik daripada Jabatan Veterinar atau Jabatan Perhilitan dari segi kepakaran, semangat dan nasihat untuk memastikan bahawa zoo di Malaysia adalah antara yang terbaik.

“Kita memerlukan zoo yang baik untuk menempatkan binatang. Zoo patut sentiasa menyediakan ruang yang luas, kelengkapan yang cukup selain makanan dan perubatan untuk masa depan binatang. Jabatan Veterinar, Jabatan Perhilitan dan Kementerian Pelancongan banyak membantu khasnya untuk mengembalikan haiwan-haiwan ini kepada habitat asal mereka. Kesannya, dapat kita lihat pada masa akan datang. Cucu kita takkan tahu apa sebenarnya flora dan fauna jika kita hanya berpeluk tubuh,” jelasnya lagi.

Aksi Cheetah di Wild Savannah, Safari Park

Aksi Cheetah di Wild Savannah, Safari Park BGRC

Persekitaran Zoo Sewajarnya Seperti Habitat Asal Haiwan

Keperluan haiwan untuk tinggal di zoo yang seakan-akan habitat asal haiwan amat penting dalam memberikan keselesaan kepada haiwan.

Bagi petugas di BGRC, Priscilla Kelusat dari Miri Sarawak tiada istilah simpati kepada haiwan yang dikurung kerana pada zaman sekarang rata-rata zoo sedaya-upaya untuk  menempatkan setiap hidupan dalam persekitaran seperti habitat asal masing-masing.

“Ada juga komen, kasihan apabila melihat haiwan dalam kurungan. Tetapi sebenarnya zoo di Malaysia memang berusaha gigih untuk memastikan keselesaan haiwan menjadi keutamaan. Pihak zoo banyak menjalankan kerjasama dengan Jabatan Perhilitan untuk menambah baik kehidupan haiwan di dalam zoo.

“Banyak perubahan yang kita lihat bagi zoo di Malaysia hari ini. Kebanyakan pengunjung yang hadir juga dilihat semakin positif. Semakin ramai yang menjadikan topik-topik berkaitan haiwan ini sebagai topik viral. Jai semakin ramai yang bersikap ingin tahu terhadap isu-isu yang dekat dengan haiwan. Kita dapat lihat masyarakat Malaysia semakin sayang akan haiwan.

Priscilla turut berkongsi dengan Malaysiaaktif pengalamannya bersama pengunjung yang datang.

Priscila

Zoo di negara kita berusaha sedaya upaya untuk  mewujudkan persekitaran seperti habitat asal haiwan-Priscilla  Kelusat

“Mereka yang datang tidak kira Melayu, Cina, India, muda mahu pun tua. Banyak soalan yang diajukan oleh pengunjung. Orang tua pun rata-rata seronok melihat haiwan. Jika selama ini, mereka hanya mendapat maklumat menerusi program seperti National Geography dan Discovery Channel, namun di BGRC ini mereka boleh terus bertanya kepada pakar kita di Discovery Centre.

Menerusi program yang kita ada di sini, pengunjung semakin faham terutamanya tentang cara-cara terbaik untuk menunjukkan rasa sayang akan haiwan.

“Binatang ni apabila nak bagi makan bagi tu kita kena semak diet dia. Sesuai atau tidak dengan nutrien yang diperlukan. Contohnya, makanan kucing yang kita tahu semestinya ikan. Namun kami di sini juga bagi makanan lain kerana kalau makan ikan setiap hari tak baik untuk gigi kucing,” jelasnya lagi yang merupakan seorang pencinta haiwan sejak kecil lagi.

 

 

Trem yang cantik, selamat dan berpendingin hawa disediakan untuk merasai pengalaman sebenar di Wild Savannah, Safari Park

Trem yang cantik, selamat dan berpendingin hawa disediakan untuk merasai pengalaman sebenar di Wild Savannah, Safari Park BGRC

Bukit Gambang Resort City

Bukit Gambang Resort City merupakan zoo termuda di Malaysia yang memberikan peluang kepada pengunjung untuk dekat dengan hidupan liar semasa melalui seluas 88 ekar kawasan Wild Savannah (Savana Haiwan Liar) dengan menaiki trem cantik yang berpendingin hawa.

Trem yang cantik, selamat dan berpendingin hawa disediakan untuk merasai pengalaman sebenar di Wild Savannah, Safari Park BGRC.

 

Singa putih yang menjadi tarikan utama di BGRC

Singa putih yang menjadi tarikan utama di BGRC

“Kita tengok semua faktor. Kita mahu pengunjung mendapatkan pengalaman dalam keadaan yang selesa. Pengunjung diberikan peluang untuk mendapatkan pengalaman sebenar di kawasan Wild Savannah selain keselamatan turut dijamin. Haiwan di sini diberikan habitat yang seakan-akan habitat asal supaya fauna yang ada sentiasa berasa selesa.

Pengunjung juga berpeluang melihat aviari burung yang terbesar dengan 10 tingkat yang berkeluasan 3000 meter persegi. Di sini juga merupakan satu-satunya zoo yang mempersembahkan singa putih di Malaysia. Pengunjung berpeluang menjamu selera dengan singa putih. Pengalaman yang tidak akan diperoleh seperti di mana-mana zoo di Malaysia.

Dengan minat yang mendalam dalam kalangan rakyat Malaysia, Sentoria Group Berhad juga bakal membuka tiga buah zoo lagi di Langkawi Nature Park, Samariang Kuching Sarawak dan Morib Resort City,” ujar Adznan lagi.

Safari Park_Night Jungle_Black Panther_s

Black Panther yang ada di Night Jungle, Safari Park BGRC

Bukit Gambang Menyeronokkan

Bagi pengunjung Bukit Gambang Noor Asyikin Mohamad Zambri, 25, Bukit Gambang merupakan zoo yang cukup unik.

“Di sini ada pelbagai tempat yang menarik. Ada Safari Park yang cukup luas. Penat berjalan, tetapi rasa macam dalam filem Jurassic Park. Banyak haiwan yang kita boleh jumpa secara dekat. Bukan senang nak dapat tengok haiwan sedekat ni. Malah kita juga boleh memberi haiwan-haiwan ini makan.

Noor Asyikin Mohamad Zamri menyatakan BGRC ibarat masuk ke dalam filem Jurassic Park

“Ketika melalui Wild Savannah dengan menaiki trem pula, banyak haiwan yang dapat kita lihat. Pandangan atas, bawah, kir dan kanan dapat diambil dengan menarik. Jadi banyak kenangan indah sepanjang saya di sini.

“Selain itu, ada juga water park. Banyak aktiviti rekreasi yang boleh dilakukan. Bukan itu sahaja, ada juga bahagian Active Academy yang mempunyai pelbagai aktiviti yang sesuai untuk mereka yang gemar melakukan sukan lasak seperti flying fox, paintball, ATV dan memanah.

“Konsep resort yang terdiri daripada konsep Arabian and Caribbean juga pada saya cukup unik. Terasa cukup berbeza berbanding kesibukan kota di luar sana. Ada juga jenis-jenis rumah yang pelbagai bentuk yang ada tidak jauh dari kawasan BGRC ini iaitu rumah yang berwarna-warni. Saya rasa seolah-olah seperti berada di Venice dan San Fransico. Pada saya BGRC memang cukup menyeronokkan,” ujarnya lagi.

-AAS

 

 

 

 

 

Tinggalkan komen anda