Skip to main content
Berita TempatanSabah

Angin Kencang, Laut Bergelora Hingga Hari Ini-Pengarah Meteorologi Sabah

By 24 Ogos 2016Tiada komen2 minit bacaan

  Oleh: Yahya Abdul Rajak & Asmidar Zainol

KOTA KINABALU, 24 Ogos (Malaysiaktif) – Amaran angin kencang dan laut bergelora yang berlaku di Sabah ketika ini dijangka akan berterusan sehingga 24 Ogos ini.

Sabah juga berpotensi mengalami angin kuat dan pembentukan ribut petir atau garis badai (squall line) sehingga September semasa Monsun Barat Daya ketika ini.

Menurut Pengarah Jabatan Meteorologi Sabah, Azemi Daud, semasa kehadiran ribut tropika di Laut China Selatan atau Lautan Pasifik berpotensi meningkatkan kekuatan angin monsun yang bermula Mei lalu dan memudahkan pembentukan ribut petir atau garis badai di luar pesisir Bahagian Pantai Barat Sabah pada waktu malam sebelum melanda ke daratan pada waktu pagi.

“Angin kencang Barat Daya ini berkelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam (kmsj) boleh mengakibatkan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter. Antara lokasi yang akan terjejas adalah di kawasan perairan Palawan, Reef North dan Layang-Layang.

“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut,” katanya kepada wartawan Malaysiaaktif Sabah pagi semalam.

Walau bagaimanapun, kawasan pendalaman atau kawasan yang terlindung oleh banjaran gunung bebas daripada pengaruh monsun ini.

Azemi turut menerangkan bahawa garis badai merupakan garisan ribut petir yang bergerak dengan panjangnya boleh mencapai seratus kilometer. Tempoh hayat garis badai adalah lebih lama daripada ribut petir biasa.

Selepas Monsun Barat Daya, negara akan mengalami Peralihan Monsun pada Oktober dan diikuti dengan Monsun Timur Laut pada November 2016 hingga Mac 2017

Sementara itu, kawasan Pantai Barat dan Kudat dijangka akan menerima peningkatan jumlah hujan 20 sehingga 40 peratus daripada paras purata dari Ogos hingga September disebabkan oleh kesan sampingan daripada peningkatan jumlah ribut tropika di Laut China Selatan atau Timur Filipina yang terbentuk semasa fenomena La Nina lemah.

-SF

 

Tinggalkan komen anda