Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelakaViral

Ibu Bapa Kesal TAPEM Beku Pinjaman

By 11 Ogos 2016Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Oleh: Fauzrina Hj Bulka

MELAKA, 11 Ogos (Malaysiaaktif) – Ibu bapa kepada 26 orang pelajar yang dibekukan pinjaman dan bantuan mereka nekad menyerbu Pejabat Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) untuk mendapatkan penjelasan, petang tadi.

Pelajar-pelajar yang terlibat merupakan mereka yang mengikuti pengajian dalam bidang agama di institusi pengajian tinggi (IPT) di Mesir.

Sebelum ini, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron memberikan kata dua terhadap pelajar yang menuntut bidang agama di Mesir dengan menyatakan mereka perlu mengubah bidang atau beralih ke negara lain sekiranya ingin dibantu dengan pinjaman atau derma siswa.

Idris turut menjelaskan, setakat ini kerajaan hanya menyediakan bantuan pinjaman dan juga derma siswa kepada pelajar-pelajar yang menuntut di bidang pengajian perubatan, pergigian dan juga farmasi di Mesir.

Bapa kepada seorang pelajar yang terlibat, Hatta Hassan, 60, berkata anaknya telah setahun melanjutkan pengajian di sana dan turut mengeluarkan banyak modal sepanjang tempoh itu.

IMG_5050

“Saya hanya mahukan bantuan pinjaman diberikan kerana kebanyakan ibu bapa yang datang hari ini pun bukan semuanya mampu.Saya merasa kecewa apabila perkara sebegini berlaku. Lagipun, anak-anak belajar pengajian agama, apa masalahnya?” soalnya.

Tambah Hatta, dia yang merupakan pesara tentera memohon agar kerajaan negeri mempertimbangkan agar bantuan dikembalikan kerana mereka juga yang dahulunya memberi semangat untuk anak-anak sambung belajar.

Sementara itu, wakil kepada ibu bapa tersebut, Azman Abdul Hamid menggesa supaya isu ini dibawa kepada Ketua Menteri untuk mengembalikan pinjaman tersebut kerana inilah harapan ibu bapa.

Menurutnya, pelajar yang terdiri daripada tahun satu dan dua telah akur dengan prosedur yang ditetapkan iaitu mengambil peperiksaan tahun pertama, dan membuat permohonan kepada TAPEM selepas mendapat keputusan.

Malaysiaaktif cuba menghubungi Pengurus Besar TAPEM, Mustafa Musa, untuk mendapatkan maklum balas mengenai perkara ini namun tidak berjaya berikutan dia kurang sihat.
-DZ

Tinggalkan komen anda