Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelakaViral

Pengakap Berkumpul di Udara

By 11 Ogos 2016Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Oleh: Fauzrina Hj Bulka / Foto: Nor Azizah Shaari

MELAKA, 11 Ogos (Malaysiaaktif) – Pasti tidak ramai yang tahu bahawa apabila pengakap ingin membuat perjumpaan dengan ahli daripada negeri yang lain, mereka tidak perlu merentasi negera untuk membuat pertemuan tersebut,

Setiap tahun, mereka ‘berkumpul’ di udara menggunakan gelombang radio melalui Jamboree Di Udara atau Jamboree On The Air (JOTA) yang mula diadakan pada Mei 2008.


Menurut Pengarah JOTA Negeri Melaka, Nor Azizah Shaari, JOTA ialah satu program untuk Pengakap berhubung antara satu sama lain menggunakan Radio Amatur dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Syed Zahiruddin merupakan satu-satunya sekolah di negeri ini yang memiliki kemudahan radio komunikasi.

“Tahun 2016 merupakan kali kelima JOTA diadakan serentak di seluruh negara, selepas lima tahun tidak dijalankan. Pada 6 Ogos lepas, kami berjaya mengumpul lebih 1,000 penyertaan dengan 25 orang daripadanya merupakan Orang Kurang Upaya (OKU),” katanya kepada Malaysiaaktif.

Tambahnya, Melaka telah menyediakan tiga stesen pada kali ini, iaitu selain daripada stesen utama di SMK Tun Syed Zahirudin, dua lagi sub stesen terletak di SMK Dol Said dan SMK St. David.

“Pelbagai aktiviti yang telah dilangsungkan sepanjang program selama sehari ini antaranya ceramah berkaitan radio komunikasi yang menjelaskan kepentingan penggunaan radio komunikasi ketika bencana,” katanya.

Selain aktiviti mencari harta karun, aktiviti yang dipanggil QSO desktop juga dilakukan sebagai latihan pertama sebelum peserta bercakap atau QSO di radio, seolah-olah mereka menggunakan radio sebenar.


“Human Code Morse dan beberapa kuiz juga turut diselitkan dalam program kami, selain daripada Semaphore iaitu isyarat bendera yang boleh digunakan ketika kecemasan. Contohnya jika tersesat dihutan, kita boleh gunakan isyarat itu pada kapal terbang yang lalu untuk sampaikan mesej mohon bantuan.

“Tidak seperti jambori di daratan yang mempunyai syarat dari segi usia, JOTA terbuka kepada Pengakap di semua peringkat umur. Syarat yang utama cuma penggunaan Radio Amatur mewajibkan pengendalinya mempunyai lesen Radio Amatur,” jelas Nor Azizah.

Tidak seperti beberapa negara lain, di Malaysia, seseorang yang tidak mempunyai lesen, dibenarkan untuk mengendalikan peralatan komunikasi Radio Amatur di bawah pengawasan pemegang lesen yang sah dengan lesen khas daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Jadi, lebih mudah bagi pengakap untuk bercakap sendiri ketika JOTA dan bertukar-tukar maklumat antara satu sama lain seperti nama, umur, lokasi, sekolah, pangkat dan apa sahaja yang mereka ingin kongsikan,” katanya ketika ditemui di SMK Tun Syed Zahirudin tadi.


Ketika ditanya mengenai penglibatan peserta OKU, menurutnya peserta OKU mendapat peluang yang sama tanpa ada perbezaan dan mereka juga belajar menggunakan radio untuk bercakap.

“OKU juga sama seperti pengakap lain. Ikut semua aktiviti yang sama. Cuma mereka dalam kumpulan OKU sebab lebih mudah untuk berinteraksi. Kami menjaga kebajikan untuk OKU agar mereka juga gembira seperti murid lain,” jelasnya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Jasin, Datuk Wira Haji Ahmad Hamzah bersetuju memberikan peruntukan sebanyak RM5,000 kepada Pasukan Pengakap Sekolah SMK Tun Syed Zahirudin bagi menaik taraf bilik komunikasi radio dan juga sebagai hadiah sempena Sambutan Ulang Tahun Kelima persatuan tersebut.
-DZ

Tinggalkan komen anda