Skip to main content
Berita TempatanSabah

Masalah Ceroboh, Culik di Esszone, Polis Tingkat Fokus Risikan

By 23 Ogos 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

  Oleh: Zuraidah Ahmad 

KOTA KINABALU, 23 Ogos (Malaysiaktif) – Polis memfokuskan usaha mengumpul risikan berkualiti bagi menangani masalah pencerobohan dan penculikan di kawasan Zon Selamat Pantai Timur Sabah (ESSZONE).

Menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, tumpuan turut diberi kepada aspek koordinasi yang terbaik antara pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Pasukan Gerakan Am (PGA) Negeri Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

“Kita memberi fokus terhadap usaha mengumpul risikan yang berkualiti supaya tindakan proaktif dapat diambil bagi menangani semua masalah keselamatan terutamanya di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

“Kita juga akan pastikan sistem rondaan dirancang dengan baik dan operasi-operasi ditumpukan kepada individu-individu yang masuk ke negara ini melalui jalan yang salah.

“Hasil daripada operasi ini akan dianalisis yang akan menjadi panduan bagi setiap operasi pada masa akan datang,” jelasnya selepas menghadiri Mesyuarat Penyelerasan Operasi-operasi PDRM dan ESSCOM di kawasan ESSZONE di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini pada Isnin.

Rashid turut mengingatkan semua Ketua Polis Daerah terutamanya di kawasan ESSZONE dan angota Cawangan Khas agar meningkatkan risikan, sekali gus menghuraikan semua maklumat yang diterima.

Tambahnya, beliau tidak boleh menghuraikan secara terbuka hasil perbincangan berkenaan namun polis tetap memberi jaminan kawasan ESSZONE masih dapat dikawal dengan baik daripada semasa ke semasa.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan beliau memberitahu media pelaksanaan perintah berkurung membabitkan kawasan ESSZONE masih relevan untuk menangani insiden pencerobohan di perairan negeri ini.

“Setakat ini, kita melihat pelaksanaan perintah berkurung masih mempunyai keperluannya dan tetap relevan.

“Kita masih kekalkan setiap prosedur perintah berkurung seperti sedia kala tetapi perkara itu akan diteliti oleh Pesuruhjaya Polis Sabah untuk membuat penilaian a sama ada perlu diubah atau sebaliknya,” jelasnya.

Perintah berkurung mula diperkenalkan pada 19 Julai 2014 dengan membabitkan jarak tiga batu nautika dari pantai membabitkan daerah Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

-SF

Tinggalkan komen anda