Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelakaViral

Operasi Khas Bas Ekspres Dilaksana Serta Merta Seluruh Negara

By 4 Ogos 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh: Fauzrina Hj Bulka (Melaka)

MELAKA, 4 Ogos (Malaysiaaktif) – Satu operasi khas bas ekspres akan dilaksanakan serta merta di sepanjang lebuhraya utama negara bagi memastikan pemandu bas ekspres mematuhi peraturan semasa berada di jalan raya.

Ini berikutan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerima banyak aduan kebelakangan ini berkenaan kenderaan perdagangan, terutamanya bas ekspres, yang sering dipandu laju di lorong kanan lebuh raya dan membahayakan penumpang serta pengguna jalan raya yang lain.

Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Malaysia, Datuk Nadzri Siron berkata strategi operasi khas ini terbahagi kepada beberapa pendekatan utama termasuk operasi intensif rondaan di lebuh raya iaitu rondaan dengan menggunakan kenderaan JPJ.

“Anggota penguatkuasa juga akan membuat operasi penyamaran di dalam bas sebagai penumpang. Sekiranya kesalahan dilakukan, mereka akan mengeluarkan saman sebaik bas tiba di destinasi.

“Operasi yang ketiga ialah penyamaran menggunakan kenderaan yang tidak berlogo jabatan. Anggota kami akan ikut bas tersebut dan mengarahkannya untuk berhenti di Hentian Rehat dan Rawat agar saman dapat dikeluarkan,” ujarnya kepada pemberita di JPJ Negeri Melaka Bukit Katil pada Selasa.

Tambah Nadzri, sekiranya kenderaan berkenaan mempunyai rekod kesalahan lampau yang banyak, kenderaan tersebut akan disita dan tidak dibenarkan bergerak.

Ketua Pengarah JPJ Malaysia, Datuk Nadzri Siron menunjukkan geran baharu yang lebih kecil berbanding geran lama ketika mengadakan lawatan kerja ke JPJ Negeri Melaka, Bukit Katil.

Ketua Pengarah JPJ Malaysia, Datuk Nadzri Siron menunjukkan geran baharu yang lebih kecil berbanding geran lama ketika mengadakan lawatan kerja ke JPJ Negeri Melaka, Bukit Katil.

 

“Selain itu, saman juga akan dikeluarkan dengan kompaun sebanyak RM300. Tindakan ini diambil mengikut peruntukan di bawah Seksyen 59, Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelas Nadzri.

Selain kenderaan perdagangan, operasi ini juga akan menumpukan kepada tujuh kesalahan utama yang kerap menjadi punca berlakunya kemalangan jalan raya. Jika didapati bersalah, tindakan saman akan dikeluarkan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tujuh kesalahan utama yang dimaksudkan ialah melanggar lampu isyarat, memandu di lorong kecemasan, memandu lebih daripada had laju dibenarkan, memotong barisan, menggunakan telefon bimbit tanpa alat bebas tangan, memotong garisan berkembar serta mengekori rapat kenderaan hadapan.

 

 

-DZ

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda