Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelakaViral

Pengguna Dinasihat Berhati-hati Kereta Klon – Nadzri

By 4 Ogos 2016Tiada komen2 minit bacaan
Feature - Kereta Klon Melaka

 

 Oleh: Fauzrina Hj Bulka (Melaka)

MELAKA, 4 Ogos (Malaysiaaktif) – Pengguna dan pemilik kenderaan import dan mewah dinasihat agar berhati-hati dengan kereta klon kerana telah banyak aduan dan laporan yang diterima mengenainya.

Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Malaysia, Datuk Nadzri Siron berkata demikian kepada pemberita di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Bukit Katil pada Selasa.

Menurutnya, hampir 2,000 buah kenderaan telah dirampas sejak Januari hingga pertengahan tahun ini.

“Untuk Melaka sahaja, kita sudah merampas sebanyak 141 buah kenderaan pelbagai model yang rata-ratanya diimport dari negara luar,” ujar Nadzri.

Tambahnya, pelbagai ciri boleh dilihat untuk mengenal pasti sesebuah kenderaan klon iaitu dengan melihat cermin sisi, lampu, tayar juga termasuk reka bentuk bahagian belakang kereta.

4

Pengarah JPJ Malaysia, Datuk Nadzri Siron – JPJ ada kepakaran untuk kenal pasti kereta klon.

“Penjual juga akan menawarkan harga yang murah untuk kereta klon dengan harga serendah RM40,000 hingga RM50,000 daripada harga pasaran,” jelasnya.

Menurutnya lagi, penjual akan turut memberi cukai jalan kepada pembeli untuk diguna pakai selama setahun dan menggesa pengguna untuk memperbaharuinya dengan berurusan melalui mereka sahaja.

“Terdapat juga kes apabila pengguna ingin memperbaharui cukai jalan di JPJ, sistem mendapati cukai tersebut telah diperbaharui oleh orang lain. Jika ini berlaku, kita akan siasat dan memulangkan geran tersebut pada pemilik yang asli manakala kenderaan klon akan terus disita,” kata Nadzri.

Nadzri juga turut menegaskan, kelicikan sindiket ini menyebabkan negara kerugian kira-kira RM1.4 juta kerana sindeiket ini mengelak bayaran cukai serta turut memalsukan dokumen kenderaan.

Dalam pada itu, awal tahun ini JPJ telah menubuhkan sebuah pasukan khas yang bertugas untuk memantau dan mengenal pasti kenderaan yang dicurigai telah diklon.

“Pasukan ini telah dilatih dengan ilmu kereta dan dokumentasi serta ilmu bela diri kerana adakalanya pasukan kita juga akan berdepan dengan penjenayah. Namun, pasukan ini tidak akan dikenali kerana akan bergerak secara penyamaran,” jelas Nadzri.

Kenderaan yang dipercayai klon, akan disita mengikut Seksyen 64 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pemilik juga boleh dikenakan lima tindakan termasuk pemalsuan nombor kenderaan, pemalsuan lesen kenderaan motor, tidak menggunakan lesen kenderaan motor, tiada perlindungan insurans dan juga menggunakan kenderaan yang tidak didaftarkan.

Antara saman yang akan dikeluarkan adalah di bawah seksyen 108 (3) (e) dan 108 (3)(f) di bawah akta yang sama. Sekiranya disabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.

 

 

-DZ

Tinggalkan komen anda