Skip to main content
GlobalHome

‘Pocket Rocket Man’ Sambar Gangsa

By 17 Ogos 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Syed Fauzi Syd Mostapa / Foto: AP

RIO DE JANEIRO, 17 Ogos (Malaysiaaktif)Pocket Rocket Man, Azizulhasni Awang berjaya menyambar pingat gangsa dalam acara akhir keirin Sukan Olimpik yang penuh drama, di Velodrom Olimpik Rio awal pagi tadi.

Pelumbaan penuh dramatik itu dibatalkan sebanyak dua kali selepas pelumba Great Britain, Jason Kenny dan pelumba Germany, Joachim Eilers didapati memecut lebih awal sebelum motor pengiring keluar dari trek.

Emas keirin dimenangi oleh juara bertahan Jason Kenny sementara perak dimenangi oleh pelumba Belanda, Matthijs Buchli.

Kemenangan Azizul yang merupakan pakar keirin dari Terengganu itu berjaya menyamai rekod skuad Malaysia pada Sukan Olimpik 2012, setelah Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoon memenangi perak dalam acara terjun 10 meter platform seirama wanita minggu lepas.

Aksi Azizul setelah memenangi pingat gangsa acara keirin awal pagi tadi. Foto: The Star

Aksi Azizul setelah memenangi pingat gangsa acara keirin awal pagi tadi. Foto: The Star

 

Terdahulu Azizul, 28 yang ditemu bual oleh Astro Arena semalam setelah memenangi pusingan repechage semalam berkata dia telah bersedia dengan strategi untuk bersaing dalam saingan separuh akhir.

“Saya dihalang oleh pelumba dalam pusingan pertama dan sekadar menduduki tangga kelima. Jadi dalam repechage sebentar tadi saya berjaya memecut walaupun ada ketikanya dihalang. Dalam separuh akhir, saya akan berusaha untuk memecut kerana saya tahu saya berkeupayaan. Saya berharap rakyat Malaysia akan mendoakan kejayaan saya,” ujarnya yang kali ketiga menyertai Sukan Olimpik.

Gelaran “Pocket Rocket Man” diberikan oleh seorang komentator televisyen dari Australia setelah melihat kelajuan luar biasa yang dimiliki oleh Azizul yang hanya berketinggian 1.7 meter namun tidak pernah takut untuk berdepan dengan pencabarnya serta mampu memecut laju sehingga berjaya memenangi pingat perak dalam UCI Track Cycling World Championships 2009 di Pruszków, Poland.

Sementara itu, skuad Malaysia akan menambah koleksi pingat apabila pasangan beregu lelaki badminton negara Goh V Shem dan Tan Wee Kiong sekali lagi melakukan kejutan apabila berjaya membenam pasangan China, Chai Biao dan Hong Wei 21-18, 18-21, 21-17 di Pavillion 4, malam tadi.

V Shem Goh (MAS) of Malaysia dan Wee Kiong Tan (MAS) of Malaysia berjaya menundukkan Chai Biao dan Hong Wei (CHN) of China. Foto: REUTERS/Marcelo del Pozo

Reaksi Goh V Shem dan Tan Wee Kiong setelah berjaya menundukkan pasangan China Chai Biao dan Hong Wei . Foto: REUTERS/Marcelo del Pozo

 

Dalam pada itu, acara beregu campuran akhir akan berlangsung pada malam ini melibatkan pasangan negara Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying yang bakal berdepan dengan pasangan Indonesia Tontowi Ahmad dan Liliyana Natsir.

 

-SF/AAS

Tinggalkan komen anda