
Oleh Muhammad Shahriz & Saiful Rahman Sabri (Sabah)
KOTA KINABALU, 9 Ogos (Malaysiaktif) – Program kesedaran marin perlu diperbanyak bagi menjamin ekosistem kehidupan laut terpelihara.
Ini disarankan oleh Pengerusi Taman-Taman Sabah, Datuk Seri Tengku Dr. Zainal Adlin Tengku Mahamood semasa majlis meletakkan batu karang ‘Coral Planting Borneo Reef World with NGO and Sabah Park’ di Pulau Sapi semalam.
Menurutnya, inisiatif ini bertujuan mewujudkan kesedaran tentang pemeliharaan dan pemuliharaan batu karang dalam kalangan pelancong luar serta masyarakat tempatan.
Zainal berkata program itu adalah untuk mendidik penyelam supaya lebih bertanggungjawab dalam menjaga serta memberi peluang penyelam untuk menanam sendiri batu karang.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan Borneo Reef Resort, Theresa Tham menjelaskan batu karang mengambil masa 15 tahun untuk membesar dan membentuk koloni, tetapi merosakkannya hanya memakan masa yang singkat.
“Program yang dijalankan ini dapat mendidik penyelam untuk lebih prihatin terhadap kehidupan marin khususnya batu karang,” ujarnya.
Seramai 60 orang yang menyertai penanaman itu terdiri daripada Borneo Reef World dan NGO seperti JCI Luyang, Stop Hunger Movement serta Lions Club.
Badan itu juga berusaha keras untuk memelihara kehidupan marin dan berharap lebih ramai NGO akan berkerjasama dalam pemeliharaan dan pemuliharaan kehidupan marin pada masa hadapan.