Oleh Syed Hisham Shah (Putrajaya)
TAWAU, 6 Ogos (Malaysiaaktif) – Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan kibar Jalur Gemilang 2016 telah diadakan dengan gilang-gemilang di Dataran Majlis Perbandaran Tawau, di sini sebentar tadi.
Pelancaran telah disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang yang diadakan di Dataran Majlis Perbandaran Tawau, di sini, malam ini, sebagai keyakinan Kerajaan Persekutuan terhadap komitmen jitu yang ditunjukkan rakyat Sabah.
Komitmen ini ternyata membuktikan kepentingan Sabah dalam Persekutuan Malaysia dalam menyemarakkan Bulan Kebangsaan 2016.
Zahid ternyata gembira dan teruja atas kehadiran rakyat yang ramai dalam keadaan yang penuh aman, damai dan ceria yang benar-benar melambangkan perpaduan, solidariti dan hubungan yang erat dalam kalangan rakyat Malaysia yang bersifat majmuk ini.
“Setiap daripada kita harus mempunyai semangat patriotism yang tinggi. Biarpun ada di kalangan rakyat Malaysia yang berbeza pendapat dan pegangan politik, tetapi di atas nama dan semangat Malaysia, kita ketepikan perbezaan pendapat itu, katanya pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang, di sini, sebentar tadi.
Turut hadir, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Kebangsaan dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Peringkat Negeri, Datuk Hajiji Noor.
Zahid berkata, biarpun masih terdapat pihak yang meragui kewibaan dan kemampuan Malaysia dalam mengurus dan mentadbir rakyat yang luar biasa kemajmukan dan komplesitinya, mereka seharusnya berhenti berbuat demikian.
“Malaysia sebagai negara berdaulat tidak rela kedaulatan negara tergugat dengan campur tangan asing. Kita boleh mentadbir negara kita sendiri. Kita mempunyai sistem demokrasi yang kukuh. .
“Kita mempunyai system pentadbiran yang didokong oleh pegawai-pegawai kerajaan yang kukuh. Kita mahu rakyat mendokong sepenuhnya kedaulatan dan kemerdekaan negara kita ini,” katanya.