Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanBerita UtaraJohorPulau PinangViral

Warga Emas Bangga Kibar Jalur Gemilang

By 30 Ogos 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh: Hashim Sha’ri (Johor) & Salawati Mat Shariff (P.Pinang)

PUTRAJAYA, 30 Ogos (Malaysiaaktif) – Menjelang sambutan Hari Kebangsaan esok, banyak premis dan kediaman yang telah mengibarkan Jalur Gemilang, namun masih ada yang tidak mengambil peduli untuk mengibarkan bendera.

Menurut seorang warga emas, Rogayah Abu Hassan, 75, sikap sesetengah pihak yang tidak mengambil berat tentang bendera menimbulkan rasa sebak dihatinya sebagai rakyat Malaysia.

“Saya cukup bangga. Satu Ogos saya dah cari bendera. Orang kata nak buat apa nak pasang bendera? Memang saya tak dapat apa. Saya dah lama dapat, semua orang pun dapat, tetapi tak memikirkan rasa nikmat hari ini,” kata Rogayah ketika ditemui Malaysiaaktif.

ROGAYAH

Ketika berusia 15 tahun, Rogayah yang berasal dari Johor Baru, Johor ini sering ditugaskan untuk membeli beras bagi kegunaan di rumah.

“Masa kawasan hitam dulu, beras tak boleh simpan dekat rumah. 3 kati beras seminggu. Sekarang nak beli beras berguni pun boleh. Itu menunjukkan kita ini sudah merdeka. Bila kita dah merdeka ini, kita senang nak buat apa pun.

“Sebab itu bila orang cakap bukan-bukan hari ini, saya malas nak mendengar. Saya cuma fikir, bila negara kita dah merdeka, kita senang. Kalau negara kita esok huru-hara, kita macam mana? Kan kita susah…,” kata Rogayah.

Rogayah yang pernah bekerja di kilang selama 27 tahun turut berpesan agar rakyat Malaysia menanam rasa cinta kepada negara.

“Kenanglah negara kita yang dah merdeka. Kita dah senang lenang hari ini. Dulu jalan kaki, naik basikal, naik motor, sekarang dah ada kereta, satu rumah sampai empat lima kereta,” kata Rogayah lagi.

Sementara itu, seorang pesara polis, Jamil Said, 98, menyeru supaya Jalur Gemilang terus dihormati kedaulatannya.

“Kemerdekaan bukan datang dengan mudah dan kita perlu menghargainya sebaik mungkin. Banyak pengorbanan yang telah dilakukan oleh orang terdahulu yang perlu dihargai oleh generasi muda sekarang,” jelas Jamil.

JAMIL

Menurut Jamil yang berasal dari Johor, meskipun usianya hampir mencecah satu abad, namun semangat cintakan negara dan menghargai kemerdekaan tidak pernah luntur dalam dirinya.

Jamil telah berkhidmat selama hampir 34 tahun dalam pasukan beruniform, turut menasihatkan generasi muda supaya patuh dan setia kepada negara serta undang-undang supaya keamanan dan perpaduan dapat dikekalkan.

– AH

Tinggalkan komen anda