Skip to main content
Berita TempatanKuala LumpurViralWilayah Persekutuan

Wasatiyyah: Idea dan Realiti – Buku Baharu Tulisan PM

By 13 Ogos 2016Tiada komen3 minit bacaan

Oleh:  Azri Zainal Abidin dan Zaharah Ismail (Kuala Lumpur)

PUTRAJAYA, 13 Ogos (Malaysiaaktif) – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memperkenalkan buku baharu tulisan beliau ‘Wasatiyyah: Idea dan Realiti’ dalam satu majlis di kediaman rasmi beliau di Seri Perdana, Putrajaya, semalam.

Buku terbitan bersama Institut Wasatiyyah Malaysia (IWM) di bawah Jabatan Perdana Menteri serta Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) ini merupakan buku ke-enam Perdana Menteri yang diterbitkan oleh ITBM dan julung kalinya bersama IWM.

Dalam ucapan aluan, Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Abdullah Md. Zin berkata, “Wasatiyyah dari segi istilah bermaksud kesederhanaan, keseimbangan, pertengahan, keadilan dan kecemerlangan dalam kehidupan”.

“Pelbagai cabaran yang dihadapi Malaysia mutakhir ini mendorong pemimpin negara mencari jalan terbaik dalam mengendalikan penyelesaian bagi setiap isu”,ujar beliau.

Tambah beliau, “Prinsip wasatiyyah merupakan saranan terbaik yang membantu pemimpin negara untuk membuat keputusan dalam pengurusan beberapa konflik dan isu antarabangsa”.

“Perdana Menteri Malaysia adalah individu yang sering menyuarakan konsep wasatiyyah dan meletakkan komitmen yang tinggi untuk memanfaatkan konsep ini di peringkat nasional mahupun antarabangsa”.

“Buku Wasatiyyah: Idea dan Realiti ini mengandungi intipati berdasarkan pengalaman Malaysia dalam menguruskan lima konflik hubungan antarabangsa yang memperlihatkan aplikasi daripada pendekatan wasatiyyah. Secara tidak langsung, buku ini mengumpulkan pengalaman Malaysia menguruskan konflik menggunakan teras pendirian wasatiyyah, sekaligus membolehkan pembaca memahami pentingnya pendirian ini dan kesungguhan Kerajaan menerapkan konsep pemikiran tersebut khususnya kepada rakyat Malaysia dan seluruh penduduk dunia amnya,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif ITBM,  Mohd. Khair Ngadiron,  Perdana Menteri mengemukakan enam bab menerusi buku ini yang dimulakan dengan penjelasan maksud wasatiyyah dan bagaimana pendekatannya dipraktikkan di Malaysia. Lima bab seterusnya menyentuh perihal lima isu iaitu konflik perdamaian Bangsamoro di Filipina, tragedi MH17, fahaman dan tindakan ekstrem pengganas, impak generasi muda terhadap masa depan negara dan sokongan berterusan Malaysia terhadap perjuangan Palestin.

“Harapan kami, kandungan buku ini dapat dihayati pembaca dan seterusnya mendorong kita untuk bersama-sama meneliti situasi mutakhir hubungan diplomatik Malaysia di peringkat antarabangsa dan seterusnya mendorong kepada jalan keluar daripada belenggu yang kebelakangan ini mencetuskan banyak pertelingkahan,” tambah beliau.

Turut diadakan wawancara ekslusif bersama Perdana Menteri yang mengupas lebih lanjut tentang prinsip wasatiyyah. Dalam wawancara yang dikendalikan oleh Sayed Munawar Sayed Mustar tersebut, Perdana Menteri berkongsi aspirasinya menulis buku khusus tentang pengalaman Malaysia mempraktikkan amalan berwasatiyyah dalam pelbagai isu dan konflik.

Turut dikongsikan pengalaman Perdana Menteri semasa berbincang secara langsung melalui panggilan telefon dengan beberapa pemimpin utama dunia termasuklah saat-saat genting berunding dengan ketua kumpulan pemisah, Alexander Borodai dalam tragedi MH17. Pengalaman berharga Perdana Menteri ini tidak pernah dikongsikan dalam mana-mana medium sebelum ini.

Perdana Menteri turut menggariskan beberapa langkah atau tindakan seterusnya yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan untuk mempromosikan prinsip wasatiyyah melalui pelbagai kaedah antaranya menjadikan wasatiyyah sebagai Dasar Negara. Langkah ini bagi membolehkan wasatiyyah dapat dihayati sepenuhnya dan dipraktikkan secara meluas melangkaui batasan fahaman agama, ras bangsa dan sempadan negara.

Buku dwi-bahasa ‘Wasatiyyah: Idea dan Realiti’ setebal 89 halaman ini dijual dengan harga RM40.00 manakala RM45.00 di Sabah dan Sarawak. Buku ini boleh dibeli di Kedai Buku 1Malaysia dan rangkaian kedai buku utama di Malaysia selain melalui pembelian secara dalam talian di www.itbm.com.myatau www.imw.jpm.my.

 

-DK

Tinggalkan komen anda